Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Penerbitan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melakar kejayaan apabila melangkah sempadan antarabangsa dengan membuka peluang kerjasama penerbitan buku ilmiah di Beijing, China. Kerjasama ini diperoleh menerusi penyertaan UTeM dalam Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2024 yang berlangsung pada 19 hingga 23 Jun 2024.
Delegasi UTeM yang diketuai oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin menghadiri pesta buku berkenaan bagi menjayakan majlis peluncuran karya beliau yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Pavilion Malaysia di China National Convention Center, Beijing.
Buku yang berjudul Tips and Tricks in Writing a Research Proposal hasil karya Massila dan Pensyarah Kanan UTeM, Dr. Cheong Kar Mee itu dilihat berpotensi untuk dikembangkan ke China kerana diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.
Menurut Ts. Dr. Massila, buku tersebut digarap dengan teliti bagi memberikan panduan dan membantu para pelajar sarjana untuk menyediakan kertas cadangan akademik yang terbaik. Lebih mengujakan, delegasi UTeM turut diundang menghadiri sesi perbincangan kerjasama penerbitan dengan Beijing Normal University bersama dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) serta melawat beberapa buah penerbit buku ilmiah terkemuka di Beijing.
Pada masa yang sama, UTeM turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila enam judul terbitan Penerbit UTeM telah terpilih dan mendapat tempat dalam ruangan pameran khas bagi Projek Khas China: 200 Tajuk untuk Perolehan Perpustakaan Universiti di BIBF 2024. Untuk itu, Pengarah Penerbit UTeM, Dr. Ruziah Ali menzahirkan rasa syukur kerana penerbitan UTeM berjaya tersenarai dan terpilih bagi Projek Khas China tersebut.
“Pencapaian ini menggambarkan penerbitan UTeM terus merentas sempadan dunia pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) termaju dengan penuh keperkasaan, sekali gus turut bersama-sama menjayakan sebahagian visi dan misi UTeM dalam konteks penerbitan,” kata Dr. Ruziah.

UTeM adalah antara 60 buah agensi yang mewakili delegasi Malaysia untuk mengambil bahagian dalam BIBF pada tahun ini dengan diketuai oleh MBKM. Antara objektif utama delegasi Malaysia dalam BIBF termasuklah untuk memperkenalkan dan mengangkat karya tempatan ke persada antarabangsa. Antara yang turut mengambil bahagian termasuklah penerbit universiti awam, penerbit swasta dan pemain industri penerbitan tanah air.