Diterbitkan pada 21 Jun 2024, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten Trade) mengumumkan pelancaran perkhidmatan baharunya, Raku-Invest, sebuah platform perintis yang dicipta untuk memudahkan pelaburan yang dilakukan secara berkala yang bertujuan untuk memberikan akses kepada pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) untuk semua pelabur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade, Kazumasa Mise, oleh sebab modal pasaran saham AS mewakili kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan modal pasaran global, pasaran tersebut sememangnya cukup besar dan berpotensi menjanakan pulangan lumayan kepada pelabur. Walau bagaimanapun, halangan yang dihadapi oleh pelabur Malaysia untuk melabur dalam pasaran AS adalah mencabar.

“Raku-Invest ialah versi tempatan aplikasi ‘Tsumitate Investing’ yang ditawarkan dengan jayanya oleh Rakuten Securities, Inc (RSec) di Jepun. Aplikasi ini telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan di Jepun, sekali gus menarik perhatian pelabur muda yang baru bermula dan kami berharap untuk mencapai kejayaan yang sebandingnya di Malaysia,” kata Mise lagi.

Kaedah Tsumitate yang berasal dari Jepun, membabitkan pelaburan kecil secara berkala dan bukannya dalam satu jumlah besar. Strategi ini bertujuan untuk mengurangkan kesan turun naik pasaran pelaburan.

Pelabur boleh mula berdagang secara berulang dan automatik dalam saham AS, Resit Deposit Amerika (ADR) dan Dana Dagangan Bursa (Exchange Traded Fund, ETF) daripada nilai serendah RM100. Secara automatik, pelabur dapat terus membeli mengikut jadual yang dipilih terlebih dahulu, sama ada secara mingguan atau bulanan, tanpa campur tangan manusia.

Sebagai contoh, pelabur boleh menjadualkan pembelian saham Advanced Micro Devices (AMD) menerusi Raku-Invest, bermula pada hari ini dengan pelaburan awal sebanyak RM100. Bayangkan jika pelabur melabur secara berturut-turut dengan AMD selama enam bulan lalu, sahamnya kini bernilai hampir 30 peratus lebih tinggi.

Raku-Invest ialah cara serba maju untuk Malaysia melabur dan merupakan kaedah yang sangat bermanfaat bagi pedagang kali pertama yang ingin menceburi pasaran AS.

Kaedah ini menggunakan strategi pelaburan Purata Kos Ringgit, menggalakkan konsep “Pelaburan Terkumpul” untuk pelabur baharu. Pelaburan seperti ini mengelakkan pengaruh emosi dan sebaliknya meningkatkan disiplin dengan melabur mengikut jadual berkala.

Program pelaburan Tsumitate Investing di Jepun telah mencatatkan pertumbuhan yang ketara terutamanya dalam kalangan pedagang baharu.

Hingga 30 Mei 2024, hampir 20 peratus daripada semua pedagang ekuiti RSec U.S. berdagang melalui Tsumitate Investing, menunjukkan pertumbuhan bulanan hampir 5.0 peratus dengan lebih 12 peratus daripada mereka ialah pelabur kali pertama.

Selepas beroperasi selama lebih tujuh tahun, Rakuten Trade terus melangkah maju dengan hampir 300,000 akaun yang aktif bagi mengendalikan dagangan bernilai hampir RM150 bilion di tiga pasaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi