Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan China dalam tiga sektor bakal mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dengan lebih ketara, di samping meningkatkan perdagangan dalam sektor perkhidmatan dan menarik pelaburan yang berkualiti tinggi.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerjasama ekonomi ini turut menjadikan pendigitalan kemapanan dan inovasi sebagai aspek utama selain memperkukuh pembangunan modal insan dan hubungan antara rakyat.
Kerjasama tersebut merupakan Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dengan China, di samping dua memorandum persefahaman tambahan mengenai Memperkukuh Kerjasama Pelaburan dalam Ekonomi Digital dan Pembangunan Hijau.
“Malaysia komited mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada yang lebih kukuh dengan China. Tiga perjanjian ini memberikan laluan kepada lembaran baharu untuk kerjasama ekonomi, menggalakkan lebih banyak kemakmuran bersama untuk kedua-dua buah negara,” kata Tengku Zafrul dalam ucapan pada majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan China dan Malaysia pada hari ini.
Tengku Zafrul juga berkata Malaysia dan China membincangkan kerjasama baharu yang menarik di bawah rangka kerja “Two Countries Twin Park”.
Kedua-dua buah negara juga sedang membina kerjasama yang lebih maju dalam pembuatan termaju dan kenderaan elektrik yang akan membuka peluang baharu dalam sektor utama ini.
Menurut Tengku Zafrul lagi, beliau menanti-nantikan masa yang sesuai untuk sama-sama mengumumkan rumusan daripada perbincangan mengenai aturan kerjasama baharu ini dalam masa yang terdekat.
Hubungan dua hala Malaysia dan China dengan kerjasama ekonomi sebagai terasnya sejak setengah abad yang lalu telah memberikan impak yang signifikan kepada kedua-dua buah negara. Malaysia dan China telah menjalin hubungan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sektor infrastruktur dan teknologi kereta api, sektor automotif, pembuatan fintech dan perdagangan.