Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh akses pasaran dan meningkatkan daya saing usahawan agromakanan tempatan menerusi penyertaan dalam Food and Drinks Malaysia (FDM) by SIAL 2026.
Program ini berlangsung selama tiga hari bermula 21 Julai hingga 23 Julai 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Penyertaan FAMA pada pameran ini menghimpunkan 23 syarikat usahawan agromakanan tempatan dengan lebih daripada 100 unit penyimpanan stok (SKU) yang merangkumi produk segar dan produk hiliran agromakanan.
Sepanjang penyertaan tersebut, FAMA menyasarkan potensi nilai jualan sebanyak RM3 juta selain memberikan pendedahan kepada kira-kira 15 000 pengunjung yang dijangka menghadiri pameran ini.
Pavilion FAMA berfungsi sebagai platform strategik untuk mengetengahkan produk usahawan bimbingan FAMA, termasuk perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS), peserta projek Ladang Kontrak, serta pemegang pensijilan Malaysia’s Best.
Penyertaan ini membuka peluang kepada usahawan mempromosikan produk, meningkatkan kesedaran jenama, serta meneroka pasaran baharu melalui jaringan bersama-sama pemborong, peruncit, pembeli perdagangan dan rakan niaga dari dalam dan luar negara.
Majlis perasmian FDM by SIAL 2026 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin. Beliau turut menyempurnakan gimik perasmian Pavilion FAMA pada hari pertama pameran sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan pemasaran produk agromakanan tempatan.
Antara pengisian utama di Pavilion FAMA termasuklah program BizTalk, iaitu sesi padanan perniagaan yang mempertemukan usahawan agromakanan bimbingan FAMA dengan pengusaha pasar raya tempatan. Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan membina rangkaian perniagaan, meneroka potensi penyenaraian produk dan memperluas saluran pemasaran dalam pasaran domestik.
Selain peluang perniagaan, penyertaan dalam FDM by SIAL 2026 turut memberikan pendedahan kepada usahawan mengenai trend dan permintaan pasaran semasa, teknik promosi, penjenamaan, pembungkusan, kemahiran rundingan, serta keperluan pensijilan dan piawaian bagi meningkatkan kebolehpasaran produk pada peringkat domestik dan antarabangsa.
FAMA turut melaksanakan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan, Sayur-sayuran dan Ternakan Terpilih Tempatan melalui aktiviti demonstrasi masakan dan sesi uji rasa yang dikendalikan oleh cef profesional. Antara hidangan yang diketengahkan termasuklah masakan berasaskan ayam belanda, arnab dan puyuh sebagai usaha memperkenalkan pilihan pemakanan alternatif, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan diet yang lebih seimbang sambil menyokong hasil agromakanan tempatan.
Sepanjang tiga hari pameran, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi masakan, menyertai sesi uji rasa, serta meneroka pelbagai produk tempatan seperti pes masakan, minuman, snek, kopi, gula melaka, produk berasaskan kelapa dan jagung, durian sejuk beku, produk berasaskan pisang dan koko, sayur-sayuran segar, tembikai, nangka, cendawan, tempe, rosel, serta produk berasaskan tebu.
Penyertaan FAMA dalam FDM by SIAL 2026 mencerminkan komitmen berterusan agensi ini dalam memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan negara melalui penyediaan platform yang menghubungkan usahawan dengan pasaran yang lebih luas.
Usaha ini dijangka meningkatkan daya saing produk tempatan, memperluas jaringan perdagangan, serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk menembusi rantaian bekalan domestik dan global.
Pada masa yang sama, Pavilion FAMA turut dijadikan platform promosi bagi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).