Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Pengurusan cukai kini menjadi sebahagian daripada strategi tadbir urus korporat apabila semakin banyak syarikat menitikberatkan pematuhan cukai, pengurusan risiko, serta ketelusan dalam operasi perniagaan.

Penyertaan Seminar Harga Pindahan dan Tadbir Urus Cukai Korporat 2026 yang berlangsung semalam meningkat 24 peratus kepada lebih daripada 1300 orang peserta berbanding dengan 1050 peserta pada tahun lalu.

Peningkatan tersebut mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan komuniti perniagaan dan profesional percukaian bahawa tadbir urus cukai yang baik bukan lagi sekadar memenuhi keperluan pematuhan, malah menjadi elemen penting dalam mengurus isu percukaian lebih awal. 

Dianjurkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama strategik Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri (AIRA), Seminar Harga Pindahan dan Tadbir Urus Cukai Korporat 2026 yang diadakan secara maya itu menjadi platform perkongsian ilmu dan perbincangan antara HASiL dengan profesional percukaian, serta komuniti perniagaan mengenai cabaran pematuhan cukai korporat dalam ekosistem perniagaan yang semakin kompleks. 

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin ketika merasmikan seminar tersebut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara HASiL dengan profesional percukaian, serta komuniti perniagaan bagi memperkukuh kepercayaan, meningkatkan kepastian dan membina ekosistem percukaian yang menyokong daya saing ekonomi Malaysia.

Seminar tersebut membincangkan empat topik utama berasaskan percukaian dan pengauditan, iaitu Demystifying the Arm’s Length Principle Requirements, Managing Transfer Pricing Audit Risk, Tax Corporate Governance Framework in Malaysia: Expectations and Future Direction serta Evaluating e-Invoice Effectiveness: A Post Implementation Audit Perspective

Barisan penceramah, moderator dan ahli panel terdiri daripada pegawai kanan HASiL, mantan pengurusan tertinggi HASiL, serta profesional dan pengamal percukaian yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. 

Penganjuran seminar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan HASiL untuk memperkukuh pendidikan dan kefahaman percukaian selaras dengan Pelan Pendidikan Pembayar Cukai HASiL 2026–2030 yang memberikan tumpuan pada peningkatan pengetahuan, kesedaran dan kefahaman bagi membentuk budaya pematuhan cukai secara sukarela. 

Melalui platform pendidikan dan perkongsian ilmu seperti ini, HASiL akan terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti perniagaan dan profesional cukai bagi memastikan isu percukaian dapat difahami dan diurus dengan lebih baik, sekali gus menyokong pembentukan ekosistem perniagaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan berdaya saing. 

Kredit Foto: Lembaga Hasil Dalam Negeri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi