Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Global Animal Production and Veterinary Industry Summit (GAVIS) 2026 menghimpunkan pakar veterinar, saintis haiwan, penternak, penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar dan penggiat industri dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam memajukan industri pengeluaran haiwan dan memperkasakan agenda keterjaminan makanan.
Bertemakan “One Voice, One Health, One Future”, sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 21 Julai hingga 23 Julai 2026 menjadi platform antarabangsa untuk membincangkan penyelesaian bersepadu yang menghubungkan kesihatan haiwan, kesihatan manusia, kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, kerajaan komited memperkukuh sektor penternakan tempatan bagi meningkatkan pendapatan penternak, mengurangkan kebergantungan pada import makanan dan memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi, selamat dan terjamin.
Persidangan sulung itu menampilkan 108 pembentang, termasuk 51 pakar antarabangsa dari pelbagai negara seperti China, Australia, United Kingdom, Indonesia, Vietnam, Jepun, India dan Belanda. Program tersebut turut melibatkan 16 badan profesional, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta institusi pengajian tinggi dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara sektor awam dengan akademia dan industri.
Buat julung kalinya, GAVIS 2026 menyatukan beberapa persidangan utama dalam bidang pengeluaran haiwan dan veterinar di bawah satu platform. Pendekatan ini membolehkan peserta menghadiri pelbagai sesi teknikal dan saintifik melalui satu pendaftaran, sekali gus menjimatkan kos, serta memperluas perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan penggiat industri.
Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta membincangkan pelbagai isu strategik, termasuk teknologi penternakan, biosekuriti, kebajikan haiwan, penyakit haiwan, keselamatan makanan, akuakultur, pengurusan hidupan liar, pertanian digital, serta teknologi penternakan pintar. Sidang kemuncak ini turut menampilkan pameran industri, pembentangan saintifik, pertandingan inovasi pelajar, pertandingan poster, serta bicara tokoh.
Penganjuran GAVIS 2026 dijangka memperkukuh ekosistem industri ternakan negara melalui pemindahan teknologi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan. Selain menyokong agenda keterjaminan makanan negara, sidang kemuncak ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi industri pengeluaran haiwan yang lebih berdaya saing, mampan dan berteraskan inovasi.