Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia terus memperkasakan penyertaan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera dalam sektor pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), termasuk teknologi digital, aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan ekonomi hijau menerusi pelbagai inisiatif strategik menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha tersebut dilaksanakan berlandaskan Pelan Strategik Perniagaan SME Corp. Malaysia 2022–2030 yang memberikan penekanan pada peningkatan pelibatan PMKS bumiputera dalam industri berimpak tinggi sebagai antara bidang tumpuan bagi memacu pertumbuhan perniagaan dan ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Dewan Rakyat mengenai inisiatif SME Corp. Malaysia dalam memperkasakan usahawan bumiputera dalam sektor bernilai tinggi.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan, termasuklah Program Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancement (BRAVE) yang bertujuan mempercepat pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera berpotensi tinggi ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.
Dengan peruntukan sekali bayar sebanyak RM15 juta, program itu menyediakan pembiayaan hingga RM1 juta pada kadar keuntungan 3.5 peratus, di samping pembangunan kapasiti, pengukuhan tadbir urus korporat dan akses kepada pasaran modal.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2025 hingga Jun 2026, sebanyak 27 PMKS bumiputera telah menyertai program tersebut dan kerajaan menyasarkan antara lima hingga 10 syarikat akan disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, KUSKOP turut melaksanakan Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE 2.0) bagi menyokong penyertaan PKS dalam industri pertumbuhan tinggi secara holistik melalui pinjaman tanpa cagaran hingga RM1 juta, rebat bersyarat hingga 30 peratus, pembangunan kapasiti, padanan perniagaan, serta geran padanan hingga RM300,000 kepada syarikat yang layak.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 12 PKS bumiputera telah menerima kelulusan pinjaman dan geran berjumlah RM4.9 juta melibatkan sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), bioteknologi dan peranti perubatan.
Selain itu, Dana Pemangkin Penskalaan PKS diperkenalkan bagi membantu PMKS mengembangkan perniagaan menerusi pembiayaan hingga RM1 juta pada kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun dengan rebat bersyarat hingga 30 peratus. Dana tersebut boleh dimanfaatkan bagi membiayai modal kerja dan perbelanjaan modal termasuk automasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembungkusan, serta penjenamaan.
Daripada peruntukan pembangunan bumiputera sebanyak RM15 juta, sebanyak 28 PKS bumiputera telah menerima kelulusan pembiayaan berjumlah RM10.8 juta, termasuk lima syarikat dalam sektor E&E, aeroangkasa, peranti perubatan, dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menerima pembiayaan bernilai RM1.2 juta.
Dalam usaha memperkukuh daya saing PMKS, KUSKOP turut melaksanakan Program PKSlestari bagi mempercepat penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Program itu menawarkan pembiayaan hingga RM1 juta dengan rebat bersyarat hingga 30 peratus, selain program pembangunan kapasiti. Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 385 PMKS bumiputera telah menerima manfaat daripada program berkenaan.
Bagi memperluas akses PKS kepada pasaran modal, Program PKS@Bursa diperkenalkan untuk membimbing syarikat membuat persediaan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia melalui sokongan pembiayaan dan pembangunan kapasiti. Hingga Jun 2026, sebanyak 16 PKS bumiputera telah mengikuti sesi bimbingan di bawah program tersebut.
YB Datuk Mohamad Alamin berkata, pelaksanaan inisiatif seperti BRAVE, PRESTIGE 2.0, Dana Pemangkin Penskalaan PKS, PKSlestari dan PKS@Bursa membuktikan komitmen berterusan KUSKOP dalam melahirkan lebih banyak usahawan bumiputera yang berdaya saing, berinovasi dan mampu menembusi pasaran global, sekali gus memperkukuh sumbangan PMKS kepada pertumbuhan ekonomi negara menjelang tahun 2030.