Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inflasi keseluruhan negara meningkat sedikit kepada 1.9 peratus pada April 2026 berbanding dengan 1.7 peratus pada Mac lalu, manakala inflasi teras mereda kepada dua peratus daripada 2.1 peratus dalam tempoh yang sama.

Demikian perkembangan monetari dan kewangan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menjelaskan peningkatan inflasi keseluruhan itu adalah sejajar dengan jangkaan dan didorong, terutamanya oleh kenaikan harga runcit bahan api, khususnya RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia susulan peningkatan harga minyak global. Walau bagaimanapun, kesan kenaikan tersebut telah dikurangkan melalui pelaksanaan subsidi bersasar yang berterusan bagi RON95 dan diesel.

Pada masa sama, peningkatan inflasi turut diimbangi oleh kadar kenaikan harga yang lebih perlahan bagi barang kemas dan jam tangan berikutan penurunan harga emas, platinum dan perak dalam pasaran global.

Dalam perkembangan perdagangan luar negara, lebihan dagangan Malaysia meningkat kepada RM28.8 bilion pada April berbanding dengan RM24.6 bilion pada Mac, didorong oleh prestasi eksport yang terus kukuh dan mengatasi pertumbuhan import.

Eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 36.9 peratus berbanding dengan 8.3 peratus pada bulan sebelumnya diterajui oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang berkembang 46.4 peratus.

Prestasi sektor E&E disokong, terutamanya oleh peningkatan eksport semikonduktor sebanyak 65.4 peratus dan alat ganti mesin pejabat sebanyak 228.7 peratus berikutan permintaan teknologi global yang kekal mampan.

Eksport bukan E&E turut berkembang 33.2 peratus yang disokong oleh harga produk petroleum yang lebih tinggi. Sementara itu, import meningkat 20 peratus berbanding dengan 10.4 peratus pada Mac dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan aktiviti eksport semula.

Dari segi pembiayaan ekonomi, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.8 peratus pada April berbanding dengan 5.6 peratus pada Mac. Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan pinjaman perniagaan terkumpul kepada 6.3 peratus dan bon korporat terkumpul kepada 6.1 peratus.

Menurut BNM, pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi disokong oleh peningkatan pembiayaan kepada syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bagi tujuan modal kerja. Dalam masa yang sama, pertumbuhan pinjaman berkaitan dengan pelaburan terus menunjukkan momentum yang menggalakkan merentas segmen PKS dan bukan PKS.

Pertumbuhan pinjaman isi rumah pula kekal mampan pada kadar 5.5 peratus berikutan peningkatan pembiayaan bagi kebanyakan tujuan penggunaan.

Kualiti aset institusi perbankan kekal stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing tidak berubah pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus. Nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab pengawalseliaan terus berada pada tahap berhemat sebanyak 125.4 peratus daripada jumlah pinjaman terjejas kasar.

Sistem perbankan juga terus mengekalkan kedudukan mudah tunai yang kukuh apabila agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai meningkat kepada 152.8 peratus berbanding dengan 144.6 peratus pada bulan sebelumnya, sekali gus menunjukkan keupayaan institusi perbankan menghadapi sebarang kejutan mudah tunai.

Sementara itu, pasaran kewangan global dan domestik mendapat manfaat daripada sentimen pelabur yang bertambah baik susulan gencatan senjata dalam konflik di Timur Tengah sepanjang April. Perkembangan tersebut turut disertai oleh pengukuhan keadaan kewangan global apabila dolar Amerika Syarikat terus lemah dan tekanan kewangan antarabangsa berkurangan.

Dalam persekitaran itu, ringgit mengukuh sebanyak 1.7 peratus berbanding dengan dolar AS, disokong oleh aliran masuk bersih pelaburan asing ke dalam pasaran bon dan ekuiti domestik.

Prestasi pasaran kewangan tempatan turut bertambah baik apabila kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menurun sebanyak enam mata asas, manakala indeks FBM KLCI meningkat 1.9 peratus sejajar dengan pemulihan yang dicatatkan dalam pasaran serantau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi