Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya –Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan bagi keperluan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 dijangka mencukupi untuk memenuhi permintaan di seluruh negara.

KPKM memaklumkan bahawa berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hingga April 2026, stok lembu dan kerbau tempatan berjumlah 35,127 ekor, manakala bekalan import sebanyak 16,845 ekor. Jumlah keseluruhan bekalan sebanyak 51,972 ekor itu melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang diunjurkan sebanyak 40,420 ekor.

Bagi kambing dan bebiri pula, stok tempatan direkodkan sebanyak 25,815 ekor, manakala bekalan import berjumlah 4,232 ekor. Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan sebanyak 30,047 ekor, sekali gus melebihi anggaran permintaan semasa yang berjumlah 22,424 ekor.

Berdasarkan data tersebut, KPKM memberikan jaminan bahawa bekalan ternakan dalam negara berada pada tahap yang mencukupi bagi menampung keperluan penyembelihan korban pada tahun ini.

Dari aspek kesiapsiagaan infrastruktur, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia telah bersedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

Selain itu, DVS turut mengeluarkan lesen kepada 43 rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia hingga 16 Mac 2026 bagi menyediakan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat.

Bagi aktiviti penyembelihan korban yang dijalankan di luar kawasan rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam, pihak penganjur diwajibkan mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar berserta dokumen berkaitan dengannya untuk mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

KPKM turut menggesa orang ramai supaya merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban berjalan lancar, teratur dan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi