Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh pembangunan bakat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi penganjuran Program Jaguh Usahawan Nasional (JAGUH) Siri 6/2026 yang berakhir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) itu disertai sebanyak 189 mahasiswa daripada tujuh institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah.

Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh pembangunan bakat keusahawanan nasional melalui pendekatan keusahawanan berasaskan disiplin yang menekankan penghasilan idea dan inovasi berasaskan kemahiran akademik, serta pengembangan bakat peserta.

Pelaksanaan program tersebut memberikan tumpuan pada tiga sektor utama, iaitu Sektor Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV), Ekonomi Jingga dan Ekonomi Biru sejajar dengan usaha melahirkan usahawan berdaya saing yang mampu meneroka peluang baharu dalam sektor strategik negara.

Menurut KUSKOP, kementerian itu komited memperkukuh ekosistem pembangunan keusahawanan negara menerusi pelbagai inisiatif strategik, serta kemudahan pembiayaan yang disediakan khusus untuk mahasiswa dan graduan melalui agensi di bawah kementerian.

Dalam menghadapi landskap ekonomi yang semakin dinamik, mahasiswa dan graduan disarankan menjadi individu yang proaktif, berdaya tahan dan berfikiran terbuka bagi mencipta peluang dan nilai baharu yang dapat menyumbang kepada pengukuhan ekosistem keusahawanan negara.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Rektor UiTM Cawangan Sabah, YBrs. Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed; Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, YBrs. Puan Viviantie Sarjuni; serta barisan pengurusan kanan KUSKOP dan agensi berkaitan dengannya.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi