Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 28 Mei 2026 hingga 3 Jun 2026 diturunkan selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa penurunan tersebut tidak bermakna tekanan dalam pasaran petroleum global telah reda memandangkan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat yang berlarutan lebih daripada 12 minggu masih berterusan.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), harga minyak mentah Brent ketika ini kekal melepasi paras USD100 setong, iaitu lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding dengan paras sebelum konflik yang berada sekitar USD60 hingga USD70 setong. Situasi itu turut disertai peningkatan kos penghantaran dan premium insurans akibat risiko terhadap laluan perdagangan di kawasan konflik.
Sejak konflik tercetus pada 28 Februari 2026, pasaran terus memberikan perhatian terhadap risiko gangguan bekalan minyak global, khususnya melibatkan Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia.
Pada masa yang sama, kerosakan terhadap kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat dijangka memerlukan tempoh yang panjang untuk dipulihkan.
Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu memastikan bekalan negara terus mencukupi.
Bagi tempoh 28 Mei 2026 hingga 3 Jun 2026, harga runcit RON97 ditetapkan pada RM4.65 seliter, turun 20 sen berbanding dengan RM4.85 seliter pada minggu sebelumnya. Harga RON95 pula diturunkan sebanyak 15 sen kepada RM3.92 seliter berbanding dengan RM4.07 seliter sebelum ini, manakala diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM4.87 seliter, iaitu penurunan sebanyak 10 sen daripada RM4.97 seliter.
Pada masa yang sama, kerajaan terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan memastikan kelangsungan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter, sementara Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter.
MoF memaklumkan bahawa lebih daripada 14 juta penerima yang layak terus menikmati harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter di bawah BUDI95. Selain itu, lebih daripada 90 peratus daripada jumlah penggunaan RON95 di negara ini melibatkan pengguna yang menerima subsidi tersebut.
Menurut MoF lagi, pada harga RON95 tanpa subsidi semasa, iaitu RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter bahan api akan menelan kos RM784. Namun begitu, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95, sekali gus membolehkan mereka hanya membayar RM398 sebulan bagi penggunaan maksimum 200 liter.
Kerajaan menegaskan bahawa pendekatan berhemah akan terus diambil dalam mengimbangi keperluan mengawal kos sara hidup rakyat dan pengurusan fiskal negara. Langkah itu penting bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga global, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.