Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat susulan keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu akibat konflik geopolitik berpanjangan di Asia Barat.

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), kemelut geopolitik yang berlarutan lebih daripada 11 minggu tanpa tanda penyelesaian dalam masa terdekat telah memberikan tekanan besar terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global.

Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar USD110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding dengan paras prakonflik sekitar USD70 setong. Selain itu, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara berikutan risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberikan tekanan tambahan kepada harga produk petroleum.

Gangguan terhadap bekalan minyak global juga dijangka semakin meruncing sekiranya konflik berterusan. Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia berdepan dengan risiko gangguan, manakala kerosakan terhadap kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan tempoh pemulihan yang panjang.

Dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu, kerajaan menegaskan penggunaan bahan api secara berhemat penting bagi membantu memastikan bekalan negara kekal mencukupi dan terjamin. Perancangan perjalanan harian juga disarankan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 21 Mei 2026 hingga 27 Mei 2026 ditetapkan pada kadar RM4.85 seliter bagi RON97, RM4.07 seliter bagi RON95 dan RM4.97 seliter bagi diesel di Semenanjung Malaysia.

Pada masa yang sama, kerajaan terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menyokong operasi sektor tertentu dalam keadaan ekonomi semasa.

Di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), harga RON95 bersubsidi dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter untuk lebih daripada 14 juta penerima yang layak. Kerajaan memaklumkan lebih daripada 90 peratus daripada jumlah penggunaan RON95 di negara ini melibatkan penerima subsidi.

Kerajaan turut menjelaskan bahawa pada harga semasa RON95 tanpa subsidi, iaitu RM4.07 seliter, penggunaan sebanyak 200 liter akan menelan kos RM814. Walau bagaimanapun, penerima BUDI95 hanya perlu membayar RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut, manakala kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM416 bagi setiap penerima.

Selain itu, harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter, manakala Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

Kerajaan MADANI menegaskan pendekatan berhemah akan terus dilaksanakan bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga global, di samping memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dan bekalan bahan api negara terus terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi