Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menetapkan tarikh baharu pelaksanaan Jaminan Bank bagi syarikat agensi pelancongan yang menjalankan aktiviti pelancongan ke luar negara dan umrah ke 1 Januari 2027 berbanding dengan tarikh asal pada 15 Mei 2026.
Sebelum ini, pelaksanaan Jaminan Bank diperkenalkan sebagai satu daripada mekanisme penting bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan membendung kes penipuan yang sering berlaku dalam urusan pelancongan dan umrah.
Langkah tersebut selaras dengan kehendak di bawah Peraturan 6 (1)(m), Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992 [P.U. (A)333/1992].
Menurut MOTAC, pelaksanaan mekanisme ini juga bertujuan meningkatkan tahap integriti, keyakinan dan profesionalisme dalam industri pelancongan negara, selain memastikan perlindungan menyeluruh kepada pelancong dan jemaah umrah.
Walau bagaimanapun, susulan konflik yang berlaku di Asia Tengah yang memberikan kesan kepada industri pelancongan global, termasuk operasi dan kedudukan kewangan sebahagian penggiat industri, kementerian mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan tersebut bagi memastikan langkah ini dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan, termasuk persatuan industri, selain berasaskan kepentingan awam demi mengimbangi perlindungan terhadap pelancong dan kelangsungan industri.
MOTAC menegaskan bahawa kementerian kekal komited dalam memastikan mekanisme perlindungan pengguna dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan tidak menjejaskan kelangsungan industri pelancongan negara.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, MOTAC akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan industri pelancongan dan umrah negara berkembang secara mampan, diyakini dan selamat demi menjaga kebajikan, serta kesejahteraan pelancong dan jemaah umrah.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan dengan pelaksanaan Jaminan Bank ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi MOTAC.