Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026.

Prestasi ini melangkaui jangkaan awal dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat akibat konflik di Asia Barat.

Pencapaian ini mencerminkan disiplin fiskal yang kukuh dan kecekapan tadbir urus Kerajaan MADANI dalam mengurus cabaran ekonomi global yang berterusan.

Sebelum ini, kedua-dua anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama tahun 2026 berada pada kadar 5.3 peratus. Namun begitu, prestasi sebenar yang lebih tinggi membuktikan daya tahan ekonomi negara kekal kukuh hasil pelaksanaan dasar yang berkesan.

Permintaan domestik dan sektor luaran terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku pertama tahun ini. Permintaan domestik berkembang sebanyak 5.2 peratus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang stabil hasil daripada pasaran buruh yang kukuh dan peningkatan pendapatan boleh guna susulan pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Bantuan Khas Kewangan (BKK) untuk penjawat awam dan bantuan berterusan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu, pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data turut kekal teguh didorong oleh dasar kerajaan yang memudahkan urusan pelaburan dan persekitaran pelaburan yang kondusif. Faktor ini membantu mengukuhkan momentum pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan kerajaan terhadap reformasi Ekonomi MADANI yang berteraskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat dan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab terus memperkukuh asas ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2024 dan tahun 2025 sebelum meningkat kepada 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026.

Pada masa yang sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab turut membantu kerajaan mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan inisiatif seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan bantuan di bawah BUDI Diesel.

Beliau berkata, penciptaan pekerjaan yang berterusan telah menurunkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad, manakala inflasi kekal sederhana pada kadar 1.6 peratus sepanjang suku tersebut. Perkembangan ini membantu menyokong permintaan domestik yang terus berdaya tahan.

Tambah beliau, pengukuhan berterusan nilai ringgit antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, bersama-sama prestasi Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI yang lebih kukuh dan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing berjumlah RM22.8 bilion pada suku pertama 2026 mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap ekonomi Malaysia.

Walaupun Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai reformasi penting yang sekian lama tertangguh dalam pengurusan fiskal dan ekonomi negara, kerajaan tetap berwaspada terhadap kesan konflik berpanjangan di Asia Barat yang boleh menjejaskan permintaan global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran.

Konflik yang berlarutan di rantau tersebut berpotensi meningkatkan risiko gangguan rantaian bekalan global, khususnya melalui kenaikan kos tenaga, logistik dan input pengeluaran.

Sekiranya keadaan ini berterusan, tekanan tersebut boleh menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi, menjejaskan permintaan domestik, meningkatkan kos operasi perniagaan dan seterusnya memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan MADANI telah menubuhkan satu pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi memantau perkembangan semasa secara rapi dan menyelaras tindak balas secara masa nyata terhadap risiko baharu yang timbul.

Sehingga 14 Mei 2026, kerajaan menyediakan sokongan pembiayaan sebanyak RM15 bilion untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pembiayaan mikro, pinjaman perniagaan dan jaminan. Langkah ini bertujuan memastikan kelangsungan operasi perniagaan dan membantu sektor perusahaan terus berdaya tahan dalam suasana ekonomi global yang mencabar.

Selain itu, pelarasan subsidi bahan api bersasar menerusi BUDI95 dan bantuan berterusan di bawah BUDI Diesel turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap isi rumah dan perniagaan yang layak, di samping mengekalkan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

Langkah ini juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan subsidi, mengawal peningkatan kos fiskal negara dan mengurangkan ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aktiviti penyeludupan.

Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi negara dan mengurangkan sebaik mungkin kesan luaran daripada krisis global terhadap rakyat.

Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan reformasi Ekonomi MADANI agar pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi