Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perkembangan pesat teknologi digital mengubah cara manusia memperoleh ilmu, berfikir dan berinteraksi dengan maklumat. Platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube melahirkan generasi yang membesar dalam ekosistem digital yang pantas, visual dan dipacu algoritma. Generasi ini cenderung kepada kandungan ringkas, interaktif dan memberikan rangsangan segera, sekali gus mempengaruhi corak tumpuan, pemprosesan maklumat, serta jangkaan terhadap pengalaman pembelajaran.

Perubahan ini semakin ketara dalam institusi pendidikan tinggi. Kaedah kuliah tradisional yang berpusat pada pensyarah dan berlangsung dalam tempoh yang panjang didapati semakin sukar mengekalkan perhatian pelajar. Apabila pengajaran berlangsung secara sehala tanpa interaksi, tumpuan pelajar mudah beralih kerana tidak selari dengan pengalaman digital yang mereka lalui setiap hari. Keadaan ini menunjukkan wujudnya jurang antara pendekatan pedagogi konvensional dengan cara generasi digital memproses maklumat.

Fenomena tersebut turut dipengaruhi oleh ekonomi perhatian, iaitu keadaan apabila perhatian pengguna menjadi sumber nilai kepada platform digital. Melalui algoritma yang direka untuk memaksimumkan pelibatan pengguna, media sosial menawarkan pengalaman yang lebih menarik berbanding dengan pembelajaran konvensional. Sebagai akibatnya, institusi pendidikan berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan perhatian pelajar yang semakin terbiasa dengan kandungan pantas, visual dan interaktif.

Gamifikasi Meningkatkan Pelibatan Pelajar

Kajian yang dijalankan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melibatkan 377 orang pelajar diploma dan ijazah sarjana muda menunjukkan bahawa majoriti responden berumur antara 22 tahun hingga 23 tahun, iaitu kelompok utama generasi digital. Sebahagian besar daripada mereka pernah mengikuti pembelajaran menggunakan aplikasi seperti Kahoot!, Quizizz (Wayground), Padlet dan Mentimeter.

Kajian tersebut mendapati bahawa penggunaan gamifikasi mempunyai hubungan yang signifikan dengan motivasi pelajar. Elemen seperti persaingan, ganjaran segera dan maklum balas pantas meningkatkan pelibatan pelajar dalam proses pembelajaran, serta menjadikan sesi pengajaran lebih interaktif.

Dari sudut teori, dapatan ini selaras dengan Teori Penentuan Diri (Self-Determination Theory) yang menekankan tiga keperluan psikologi asas, iaitu autonomi, kompetensi dan hubungan sosial. Gamifikasi memenuhi ketiga-tiga keperluan tersebut melalui peluang membuat pilihan, maklum balas segera, serta interaksi antara pelajar.

Namun demikian, penggunaan gamifikasi juga memerlukan keseimbangan. Penekanan yang berlebihan terhadap ganjaran seperti markah, lencana atau kedudukan berpotensi menggalakkan motivasi ekstrinsik sehingga pelajar lebih mengejar pencapaian berbanding dengan memahami sesuatu konsep secara mendalam.

Pedagogi Perlu Berubah

Perubahan tingkah laku pembelajaran generasi digital menuntut pendekatan pedagogi yang lebih fleksibel. Pelajar lebih mudah memahami sesuatu konsep melalui grafik, video, simulasi dan aktiviti interaktif berbanding dengan penerangan lisan yang panjang.

Di dalam bilik kuliah, keadaan ini sering mewujudkan kitaran kehilangan tumpuan sebelum pelajar kembali memberikan perhatian apabila aktiviti seperti kuiz atau perbincangan dijalankan. Dalam konteks ini, gamifikasi berfungsi sebagai mekanisme yang mengembalikan fokus pelajar, namun keberkesanannya bergantung pada reka bentuk pengajaran yang mampu menggalakkan pemikiran kritis dan pemahaman mendalam, bukannya sekadar meningkatkan keseronokan belajar.

Implikasi terhadap Pendidikan Tinggi

Walaupun teknologi interaktif terbukti meningkatkan motivasi dan pelibatan pelajar, kegagalan mengintegrasikannya secara sistematik boleh membawa beberapa implikasi kepada pendidikan tinggi.

Antaranya termasuklah penurunan pelibatan pelajar dalam pembelajaran konvensional, peningkatan rasa terasing daripada proses pembelajaran, serta kelemahan dalam penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi seperti analisis, sintesis dan penilaian. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh menjejaskan pembangunan modal insan yang diperlukan oleh ekonomi berasaskan pengetahuan.

Selain itu, institusi pendidikan yang lambat menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan perkembangan teknologi berisiko kehilangan daya saing. Bagi generasi muda, pengalaman pembelajaran menjadi antara faktor penting dalam pemilihan institusi pendidikan tinggi. Hal ini memberikan kesan bukan sahaja kepada reputasi institusi, malah kepada kebolehpasaran graduan.

Dalam konteks ekonomi digital, majikan semakin memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja menguasai ilmu akademik, malah mempunyai literasi digital, kebolehsuaian teknologi, serta keupayaan pembelajaran sepanjang hayat. Tanpa pendedahan kepada pendekatan seperti gamifikasi, pembelajaran adaptif dan analitik pembelajaran, graduan berisiko berhadapan dengan jurang kemahiran digital apabila memasuki pasaran kerja.

Pendidikan dan Daya Saing Ekonomi

Transformasi pedagogi bukan sekadar isu pendidikan, malah berkait rapat dengan pembangunan ekonomi negara. Sistem pendidikan yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi berpotensi mewujudkan jurang antara institusi yang progresif dengan institusi yang masih bergantung pada pendekatan tradisional.

Jurang ini bukan sahaja mempengaruhi kualiti pengajaran, malah memberikan kesan kepada hasil pembelajaran, kompetensi graduan dan keupayaan negara menyediakan modal insan yang memenuhi keperluan ekonomi digital, serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Oleh itu, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran perlu berasaskan bukti, serta disepadukan secara strategik dalam reka bentuk pedagogi. Teknologi interaktif dan gamifikasi tidak seharusnya dilihat sebagai pelengkap semata-mata, sebaliknya sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran yang mampu meningkatkan pelibatan pelajar tanpa mengabaikan penguasaan ilmu secara mendalam.

Kemunculan generasi digital mengubah landskap pendidikan tinggi. Perubahan ini menuntut institusi pendidikan tinggi menilai semula pendekatan pengajaran agar selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi masa hadapan.

Transformasi pedagogi yang mengimbangi penggunaan teknologi, pembangunan kognitif dan penguasaan ilmu secara mendalam penting bagi melahirkan graduan yang berdaya saing, adaptif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital. Kejayaan pendidikan tinggi pada masa hadapan bukan sahaja bergantung pada penggunaan teknologi, tetapi juga pada keupayaan institusi membangunkan modal insan yang mampu belajar, berfikir secara kritis dan terus menyesuaikan diri dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

Mohammad Norfadhil Noraziz dan Dr. Nazirah Abdul Rohman, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi