Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak kebelakangan ini, minat rakyat Malaysia terhadap pasaran saham menunjukkan peningkatan yang ketara. Perkembangan teknologi digital, serta kemunculan pelbagai aplikasi dagangan dalam talian telah memudahkan urusan pembelian dan penjualan saham, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan yang lebih meluas.

Saham sering dilihat sebagai instrumen kewangan yang berpotensi menjana pendapatan dan membina kekayaan dalam jangka masa panjang. Namun demikian, tahap kefahaman masyarakat terhadap konsep asas saham dan mekanisme pelaburan masih belum menyeluruh.

Secara asasnya, saham merujuk bukti pemilikan sebahagian dalam sesebuah syarikat. Pemegang saham berpeluang memperoleh pulangan sama ada melalui pembayaran dividen atau peningkatan harga saham.

Walau bagaimanapun, pelaburan saham tidak menjanjikan pulangan tetap kerana nilainya dipengaruhi oleh prestasi syarikat, sentimen pasaran, serta keadaan ekonomi domestik dan global. Oleh itu, saham bukanlah instrumen untuk memperoleh kekayaan secara segera sebaliknya memerlukan pengetahuan, disiplin dan perancangan yang rapi.

Masalah timbul apabila konsep pelaburan saham dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Terdapat pihak yang mempromosikan pelaburan kononnya berasaskan saham sebagai jalan pintas untuk meraih pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Keadaan ini mengelirukan orang ramai sehingga sukar membezakan antara pelaburan saham yang sah dengan skim cepat kaya yang berselindung di sebalik istilah pelaburan.

Skim Cepat Kaya Berkaitan dengan Saham Semakin Licik

Di Malaysia, kes penipuan pelaburan yang menyamar sebagai pelaburan saham dilaporkan semakin meningkat dan semakin sofistikated. Skim sebegini lazimnya menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kononnya rendah sedangkan hakikatnya tiada sebarang urus niaga saham sebenar dijalankan.

Sebagai contoh, seorang bekas akauntan berusia 72 tahun di Muar dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM302,100 selepas terpedaya dengan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud. Mangsa dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan sebelum diminta membuat beberapa transaksi kewangan. Penipuan hanya disedari apabila keuntungan yang dijanjikan gagal dikeluarkan.

Kes serupa turut berlaku di Kuching apabila seorang lelaki berusia 59 tahun mengalami kerugian melebihi RM2.2 juta selepas menyertai skim pelaburan saham palsu yang dipromosikan melalui kumpulan WhatsApp dan aplikasi pelaburan tidak sah. Walaupun aplikasi tersebut memaparkan keuntungan yang tinggi, wang berkenaan tidak dapat dikeluarkan.

Kes ini memperlihatkan cara istilah dan naratif pelaburan saham digunakan untuk memperdaya mangsa, sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pasaran saham yang sah dan beretika.

Petunjuk Penipuan Pelaburan

Menurut panduan institusi kewangan, antara petunjuk utama penipuan pelaburan termasuklah tawaran pulangan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah. Dalam pelaburan sebenar, pulangan lazimnya berkadar dengan tahap risiko.

Sebagai perbandingan, instrumen pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) biasanya menawarkan pulangan sekitar empat hingga enam peratus setahun. Sebaliknya, skim cepat kaya sering menjanjikan pulangan luar biasa seperti keuntungan dua angka setiap bulan.

Selain itu, tawaran pelaburan palsu lazimnya dibuat secara tiba-tiba melalui panggilan telefon, mesej peribadi atau media sosial dengan naratif peluang eksklusif dan terhad bagi mendesak mangsa membuat keputusan segera. Bagi meningkatkan keyakinan, nama individu terkenal, termasuk pempengaruh media sosial atau tokoh agama sering digunakan tanpa kebenaran.

Mangsa yang menunjukkan minat pula biasanya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp atau Telegram yang memaparkan testimoni keuntungan palsu. Oleh itu, orang ramai disarankan menyemak Senarai Amaran Pelabur yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan individu atau entiti yang ditawarkan pelaburan mempunyai kelulusan sah.

Saluran Sah Pembelian Saham

Bagi memastikan pelaburan saham dilakukan secara sah di Malaysia, pelabur perlu berurusan dengan broker saham atau bank pelaburan yang berstatus Authorised Depository Agent (ADA) dan diluluskan oleh Bursa Malaysia. Melalui saluran ini, setiap transaksi direkodkan secara rasmi, serta dilindungi oleh kerangka perundangan negara.

Pelabur juga perlu membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bagi merekodkan pemilikan saham secara sah. Akaun ini memastikan ketelusan urus niaga, serta melindungi hak pelabur sekiranya berlaku pertikaian.

Dari perspektif kewangan Islam, pelaburan saham melalui saluran sah selari dengan prinsip ketelusan dan keadilan. Sebaliknya, skim cepat kaya lazimnya mengandungi unsur gharar, riba dan maysir yang ditegah dalam syariah kerana melibatkan ketidakpastian, pulangan tetap tanpa risiko dan keuntungan yang bergantung pada kemasukan peserta baharu.

Kesimpulannya, skim cepat kaya yang berselindung di sebalik nama pelaburan saham semakin berleluasa dan memberikan kesan besar terhadap masyarakat, serta integriti pasaran kewangan. Oleh itu, masyarakat perlu memahami bahawa saham ialah instrumen pelaburan yang berisiko dan bukannya jalan pintas untuk menjadi kaya. Dengan pengetahuan, sikap berhati-hati, serta semakan terhadap saluran pelaburan yang sah, orang ramai dapat melindungi diri daripada penipuan dan seterusnya membina keyakinan terhadap pasaran saham yang telus dan beretika.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi