Diterbitkan pada 28 Januari 2026, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa peruntukan bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun 2026 berjumlah RM15 bilion meningkat hampir dua kali ganda berbanding dengan RM8 bilion pada tahun 2022.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, khususnya melalui bantuan kewangan yang disalurkan secara bersasar.

Beliau berkata, SARA yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 merupakan antara mekanisme utama kerajaan bagi memastikan bantuan disampaikan kepada golongan yang memerlukan. Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, jumlah premis rakan niaga SARA di seluruh negara setakat Isnin meningkat kepada 10,447 buah premis  berbanding dengan hanya 700 buah premis pada tahun 2024. Premis berkenaan merangkumi pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman.

Beliau menambah, sebanyak 1,096 buah premis di Sarawak telah didaftarkan sebagai rakan niaga SARA. Kerajaan akan terus meneliti syarat penyertaan rakan niaga dari semasa ke semasa bagi memastikan pelibatan kedai runcit tempatan dan peniaga kecil, selaras hasrat kerajaan untuk menambah 10,000 buah kedai runcit kecil pada tahun ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi