Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi petrol RON95 dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada akhir September ini, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.
Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerajaan kini sedang meneliti dan memperhalus kriteria kelayakan serta mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar ini secara menyeluruh. Langkah tersebut penting bagi mengelakkan tekanan inflasi yang mendadak, selain memastikan impak terhadap kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat diminimumkan.
Beliau memberikan jaminan bahawa sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara langsung dengan pelaksanaan ini. Pengecualian daripada penerimaan subsidi ini hanya tertakluk pada bukan warganegara dan golongan berkemampuan.
“Sebagai rujukan, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada pertengahan tahun 2024 menunjukkan bahawa inflasi kekal terkawal dan kadar inflasi negara meningkat secara sederhana kepada 1.8 peratus pada tahun 2024 berbanding dengan 2.5 peratus pada tahun 2023. Dalam tempoh yang sama, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 132.8 berbanding dengan 130.4 pada tahun 2023,” jelas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi jawapan bertulis dalam Portal Dewan Rakyat.
Tambah beliau,
Berdasarkan unjuran semasa, kadar inflasi keseluruhan negara bagi tahun 2025 dijangka kekal sederhana sekiranya penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putrajaya, YB Radzi Jidin berhubung dengan status pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 dan kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara. YB Radzi Jidin turut meminta penjelasan mengenai definisi kumpulan T15 seperti yang disebut dalam ucapan Belanjawan 2025.
Bagi mengurangkan beban kos sara hidup, kerajaan meningkatkan peruntukan program bantuan tunai langsung antaranya termasuklah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion pada tahun 2025. Tambahan itu bertujuan memastikan jaringan keselamatan sosial terus kukuh.
Selaras dengan pengumuman pada 23 Julai 2025, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan tunai secara sekali beri (one-off) sebanyak RM100 kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025. Bantuan di bawah program Penghargaan SARA itu khusus bagi pembelian barangan keperluan asas.
“Inisiatif ini dijangka memberikan manfaat kepada 22 juta orang dengan peruntukan RM2 bilion. Secara keseluruhan, jumlah peruntukan di bawah STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion pada tahun ini,” ujar Perdana Menteri.
Mengenai kumpulan T15, beliau menjelaskan bahawa kelayakan subsidi petrol RON95 akan ditentukan berdasarkan data Pangkalan Data Utama (PADU) yang disandarkan kepada pelbagai sumber. Antara rujukan utama termasuklah data pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pada masa yang sama, kerajaan turut memperhalus data daripada agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pendekatan yang diambil bersifat holistik dan benar-benar bersasar. Langkah ini bertujuan menjamin bantuan sampai kepada rakyat yang layak dan memerlukan.