Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) mengadakan sesi libat urus awam selama dua hari di Sabah bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada penduduk setempat untuk penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Sekitar 200 orang menyertai sesi libat urus berkenaan dengan sesi pertama berlangsung di Sandakan semalam dan sesi kedua di Kota Kinabalu pada hari ini.
Para peserta mengambil peluang untuk mengemukakan pelbagai idea dan pandangan, khususnya berkaitan dengan keperluan kemudahan sosial seperti bekalan air dan elektrik serta pembangunan ekonomi yang mampu menjanakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sesi libat urus di Kota Kinabalu pada hari ini telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri II Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, YB Datuk Peto Galim.

Menurut Pengarah Eksekutif INPUMA, YBhg. Datuk Dr. Anis, kedua-dua sesi tersebut menerima sambutan baik daripada para peserta yang tampil dengan pandangan jujur dan membina untuk dipertimbangkan bagi penggubalan dasar negara.
Ujar beliau,
Lebih daripada 100 orang hadir pada sesi di Kota Kinabalu dan kami menerima input yang sangat bernas. Isu yang dikemukakan meliputi kemiskinan, pendidikan, pembangunan luar bandar, struktur dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Masalah di Sabah ini hanya benar-benar difahami oleh rakyat Sabah sendiri. Oleh itu, usaha seperti ini penting untuk mengenal pasti keperluan sebenar rakyat agar penyelesaiannya dapat dirancang dengan lebih berkesan,” jelas beliau pada akhir sesi.
Beliau menambah bahawa pendekatan libat urus ini memberikan peluang untuk mendengar sendiri denyut nadi masyarakat setempat supaya input yang diperoleh dapat dimanfaatkan bagi merangka dasar yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.
Sementara itu, dalam ucapannya, YB Datuk Peto Galim menyambut baik insiatif INPUMA yang disifatkan sebagai satu pendekatan membina dalam proses penggubalan RMK-13 oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sesi libat urus awam ini merupakan satu langkah penting bagi mendapatkan pandangan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya rakyat Sabah. Usaha ini bukan sahaja memperkasakan penyertaan rakyat dalam dasar negara, malah mempererat hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” ujar beliau.
Tambah beliau,
Kami di Sabah amat mengalu-alukan pendekatan seperti ini dan berbangga dapat menyumbang dalam proses pengumpulan maklumat yang berharga.
RMK-13 merupakan pelan pembangunan negara yang ke-13 sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Sebelum itu, negara melaksanakan dua Rancangan Malaya bagi tempoh 10 tahun pertama selepas kemerdekaan.

Kajian ini merupakan sebahagian daripada usaha yang dijalankan oleh INPUMA untuk mengumpul maklum balas rakyat berkaitan dengan cabaran yang dihadapi sebagai pelengkap kepada dapatan sedia ada oleh agensi kerajaan. Inisiatif ini diharapkan dapat memastikan suara rakyat tidak terlepas pandang bagi merangka dasar awam yang lebih inklusif dan mampan.
Tambah YB Datuk Peto Galim,
Lebih enam dekad lalu, tinjauan awam dilakukan bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Hari ini, kita melakukan perkara yang sama demi menggubal RMK13 yang menekankan dua matlamat utama, iaitu pembangunan ekonomi dan pembasmian kemiskinan.
Beliau optimis bahawa melalui usaha ini, lebih banyak inisiatif dan program akan dirancang untuk memajukan Sabah serta mengurangkan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Abdul Rahman Mohd Yakub.