Oleh Firdaus Mul
11 Mei 2023, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menurut peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, majikan yang tidak melaksanakan perintah gaji minimum boleh disabitkan kesalahan dan boleh dikenakan denda sebanyak RM10 000 bagi seorang pekerja dan sekiranya kesalahan tersebut berulang akan dikenakan RM1000 sehari. Walau bagaimanapun, masih terdapat majikan yang ingkar kepada peraturan berkenaan. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Elya Nabila Abdul Bahri yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya menerusi siri temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM.

Menurut beliau, peningkatan gaji minimum pada ketika ini merupakan satu perkara penting yang perlu dititikberatkan. Hal itu demikian kerana peningkatan gaji minimum dapat meningkatkan kuasa beli dan meringankan golongan pekerja selaku pengguna, khususnya golongan B40. Peningkatan gaji minimum RM1500 dilihat bersesuaian dengan keadaan kenaikan kos sara hidup semasa. Dalam masa yang sama, peningkatan gaji minimum juga dapat meningkatkan simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) kerana caruman simpanan berdasarkan peratusan gaji yang diterima. Peningkatan gaji minimum ini tidak membebankan golongan B40 kerana mereka masih lagi tidak perlu membayar cukai disebabkan oleh kadar gaji yang diterima masih lagi berada di bawah paras RM3100.

Sementara itu, beliau juga turut mencadangkan agar pelaksanaan gaji minimum di Malaysia dapat diperhalusi oleh pihak yang terlibat, khususnya yang melibatkan sektor perkerjaan yang mempunyai pekerja asing. Hal ini demikian kerana sektor pekerjaan 3D (Bahaya, Susah dan Kotor) dipelopori oleh pekerja asing. Menurut kajian DOSM pada tahun 2018, pekerja asing sanggup menghantar wang yang diperolehi daripada gaji ke negara asal sebanyak hampir daripada 80 peratus gaji yang diterima. Hanya baki 20 peratus akan digunakan untuk menampung kehidupan di negara ini. Ditambah pula dengan sebahagian majikan yang menyediakan kemudahan tempat tinggal dan pengangkutan. Maka banyak kos perbelanjaan yang dapat dijimatkan oleh pekerja asing hasil daripada gaji yang diterima setiap bulan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.