Oleh Firdaus Mul
17 April 2023, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hampir 80 000 permohonan telah diterima bagi Fasiliti Sokongan Akaun Dua. Daripada jumlah tersebut, hampir 40 000 pemohon telah berjaya mendapat kelulusan. Dianggarkan jumlah pinjaman yang dilakukan bagi permohonan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM800 juta.

Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) merupakan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mendapatkan wang melalui pembiayaan peribadi yang terdapat di institusi perbankan. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azian dalam segmen bual bicara bertajuk “FSA2 KWSP: Imbangi Keperluan Persaraan dan Kewangan Semasa” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran pagi tadi.

Datuk Seri Amir Hamzah Azian.

 

Beliau menjelaskan bahawa FSA2 bukanlah suatu cagaran. Beliau turut menegaskan bahawa cagaran sama sekali tidak dibenarkan, sebaliknya FSA2 merupakan pengeluaran awal yang dibenarkan. FSA2 terdiri daripada beberapa fasa. Untuk fasa yang pertama dibuka kepada ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun. Antara intitusi bank yang terlibat dalam FSA2 termasuklah Bank MBSB dan Bank Simpanan Nasional (BSN), dan beliau juga berharap dalam masa yang terdekat ini bank-bank lain yang ada dapat menawarkan FSA2.

“Ini adalah pinjaman peribadi, seperti pinjaman lain perlu dibayar semula. Penggunaan akaun dua KWSP hanyalah untuk sokongan”, tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas perihal akaun 1 KWSP tidak terlibat dalam FSA2. Menurut beliau, KWSP ialah dana untuk zaman persaraan. Terdapat dua akaun dalam KWSP, iaitu akaun satu yang memfokuskan untuk tabung persaraan. Akaun dua pula adalah untuk pengeluaran prapersaraan. Untuk simpanan masa depan, akaun 1 tidak boleh digunakan. Akaun dua kita boleh benarkan kalau mencapai syarat-syarat yang tertentu”.

Pencarum boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak KWSP dengan mengakses laman sesawang KWSP atau boleh terus ke mana-mana cawangan KWSP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.