Oleh Firdaus Mul
22 Mac 2023, 13:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – MyTax 2.0 yang dilancarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri  (LHDN) pada November 2022 merupakan kesinambungan bagi MyTax 1.0 yang dilancarkan pada 19 November 2020.

Perkara ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Operasi Cukai LHDN, Rose Afdayanti Nasir dalam siri rancangan “Klinik Cukai: MyTax 2.0 – Mudahkan Urusan Cukai Anda” anjuran Bernama Radio baru-baru ini.

Menurut beliau, MyTax 2.0 merupakan penambahbaikan akses platform daripada MyTax 1.0 yang bertujuan memudahkan  urusan pembayar cukai. Antara penambahbaikan yang dilakukan dalam MyTax 2.0, pihak LHDNM telah membenarkan pembayar cukai untuk memohon nombor pin secara dalam talian bagi pengguna yang pertama kali log masuk ke dalam sistem MyTax.

Pertama, permohonan boleh dilakukan menerusi e-KYC, walau bagaimanapun platform E-KYC hanya boleh digunakan melalui aplikasi yang dimuaturun menerusi telefon pintar masing-masing. Kedua, melalui cara e-CP55D. Tahun sebelum ini CPP55D perlu dilakukan secara manual, tetapi untuk MyTax 2.0 yang telah melalui penambahbaikan, pembayar cukai boleh mengaksesnya secara dalam talian.

“Teknologi sentiasa berubah, jadi kita perlu mengikut arus teknologi tersebut. Untuk MyTax 2.0, objektifnya lebih kepada kita mahu semuanya di hujung jari. Pembayar cukai tidak perlu lagi hadir ke kaunter. MyTax 2.0 lebih informatif dengan memaparkan maklumat individu pembayar cukai. MyTax 2.0 bukan sekadar individu semata-mata, kita juga mempunyai fungsi untuk pengarah syarikat melihat maklumat percukaian syarikat itu sendiri. Terdapat juga fungsi untuk pentadbir harta pusaka. Pentadbir harta pusaka ini misalnya saya diamanahkan untuk menjaga harta pusaka si A. Saya boleh kemukakan pendapatan bagi si A melalui MyTax. Sebelum ini kita hantar melalui borang manual, maka itu, kaedah ini dilihat lebih menjimatkan masa.”

Antara ciri-ciri baharu MyTax 2.0 yang perlu diketahui oleh pengguna termasuklah:

  1. Pembayar cukai boleh memilih peranan. Fungsi dalam MyTax 2.0 boleh berubah. Sekiranya memilih peranan individu, maka maklumat percukaian yang dipaparkan adalah untuk individu. Jika pengguna ingin mengemaskini profil diri (maklumat asas), mereka boleh terus melakukannya menerusi akses ikon profil dan tidak perlu lagi kepada e-kemaskini.
  2. Akses ini beroperasi secara masa nyata, berbanding dengan MyTax 1.0 yang mengambil masa untuk memproses data dalam tempoh satu malam.
  3. Pembayar cukai juga boleh mengakses maklumat lokaliti.
  4. Hanya pembayar cukai individu sahaja yang boleh log masuk (Single Sign-In). Mereka boleh memohon peranan sebagai pengarah syarikat jika mereka adalah pengarah syarikat asal organisasi tertentu. Mereka juga boleh menambah peranan sebagai majikan.
  5. Membenarkan pengarah organisasi atau majikan untuk melantik wakil bagi pihak mereka. Kalau sebelum ini, pengarah terpaksa kongsi ID dan kata laluan kepada pekerja untuk menghantar borang E. Mulai 1 Mac 2023 LHDNM membenarkan pengarah melantik wakil, tanpa perlu berkongsi ID pengarah tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.