9 November 2021, 13:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pembukaan semula industri pelancongan menggalakkan aktiviti ekonomi negara bertambah baik.

Jabatan Perangkaan Malayia (DOSM) melaporkan dalam siaran Statistik Tenaga Buruh berkaitan dengan kadar pengangguran di Malaysia telah menurun kepada 4.5 peratus, iaitu sebanyak 729.6 ribu penganggur.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberitahu bahawa kedudukan tenaga buruh bertambah baik pada bulan September 2021 apabila bilangan guna tenaga yang terus meningkat dengan adanya peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Kebenaran rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di negeri Terengganu dan Pulau Langkawi telah menggalakkan aktiviti ekonomi pada bulan tersebut. Kesemua situasi positif ini mendorong pasaran buruh untuk mendapatkan semula momentum dan kembali kukuh.

Mengulas lebih lanjut, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini berkurang sebanyak 2.6 peratus merekodkan 611.0 ribu orang. Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 54.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 8.4 peratus.

Tambah beliau, penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia juga merekodkan penurunan sebanyak 2.2 peratus kepada 118.7 ribu orang. Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 13.9 peratus pada bulan tersebut, manakala kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya 8.8 peratus.

Bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.3 peratus dari suku tahun ke suku tahun kepada 16.02 juta orang setelah mencatatkan penurunan pada suku kedua 2021. Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 15.27 juta orang terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sebaliknya, kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus merekodkan bilangan penganggur seramai 746.2 ribu orang. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada suku ini kekal pada 68.3 peratus mencatatkan KPTB lelaki dan perempuan masing-masing pada 80.9 peratus dan 55.0 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, penurunan kes COVID-19 semakin positif dengan peningkatan jumlah bilangan yang telah lengkap dos vaksin. Malah semua negeri yang berada pada fasa 3 dan fasa 4 diberikan kelonggaran untuk melakukan pergerakan rentas negeri, sekali gus memberikan peluang untuk aktiviti ekonomi dijalankan seperti biasa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Aktiviti ekonomi dinamik yang berterusan akan mempercepatkan proses pemulihan perniagaan, dan sekali gus akan meningkatkan permintaan buruh dan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ekonomi negara dijangka akan meningkat pada bulan-bulan akan datang yang digambarkan oleh prestasi Indeks Pelopor yang lebih baik.

Sejajar dengan itu, pasaran buruh dijangka akan meningkat secara beransur-ansur dalam tempoh tersebut.” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.