8 Oktober 2021, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan terus optimis dalam usaha pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan pembukaan sektor ekonomi, berikutan hasil positif daripada penurunan kes jangkitan COVID-19 serta peningkatan dos vaksinasi yang dijangka memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan hari ini dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, kadar pengangguran di Malaysia telah menurun kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021, iaitu bersamaan dengan 748.8 ribu orang.

Kedudukan tenaga buruh dilihat semakin baik pada Ogos 2021 berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP). Hal ini ditunjukkan daripada peningkatan dalam guna tenaga dan penurunan kadar pengangguran pada bulan tersebut.

“Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus dari bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos 2021 dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

“Manakala bilangan penganggur menurun sebanyak 3.8 peratus kepada 748.8 ribu orang. Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada Jun dan Julai yang lalu,” jelas Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Dari aspek sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif dari bulan ke bulan, terutamanya dalam aktiviti makanan dan minuman (F&B); perdagangan borong dan runcit; dan kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

Pada masa yang sama, guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya, sementara sektor pertanian dan perlombongan, dan pengkuarian kekal dalam trend menurun.

Tambahan pula, dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.4 peratus telah meningkat sebanyak 0.2 peratus, iaitu 11.90 juta orang setelah mencatatkan penurunan bagi tempoh dua bulan sebelumnya. Begitu juga, penduduk bekerja sendiri terus meningkat sejak Februari dengan peningkatan dari bulan ke bulan sebanyak 1.4 peratus, iaitu sebanyak 2.54 juta orang.

Pada bulan tersebut, pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi mendorong bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus menurun sebanyak 13.5 peratus kepada 671.2 ribu orang.

Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627.5 ribu orang. Daripada jumlah penganggur yang aktif, 53.8 peratus merupakan mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 9.0 peratus.

Mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan kedudukan tenaga buruh, Ketua Perangkawan berkata, statistik yang dikeluarkan ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh.

Walaupun cabaran akan berterusan pada bulan berikutnya disebabkan oleh situasi kesihatan awam yang tidak menentu, pelaksanaan PPN yang membenarkan pembukaan semula ekonomi dengan lebih selamat dijangka akan dapat memacu ekonomi negara untuk pulih secara progresif.

“Peralihan positif ini memberikan isyarat bahawa prestasi ekonomi Malaysia akan pulih semula secara beransur-ansur susulan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi dengan kapasiti yang lebih.

“Prestasi ekonomi negara yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi. Oleh itu, ekonomi dan pasaran buruh dijangka pulih secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.