16 Oktober 2021, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tuan Nasaruddin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksektif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama-sama Pengamal Media di Goldsands Hotel Langkawi, Kedah.

Langkawi – “Hingga akhir bulan Oktober 2021, Langkawi menyasarkan kehadiran pelancong di pulau ini mencecah angka 100 ribu pengunjung.” Keterujaan ini dikongsikan oleh Tuan Nasaruddin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksektif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam Majlis Makan Malam Bersama-sama Pengamal Media di Goldsands Hotel Langkawi malam tadi. Jamuan yang diadakan khusus untuk meraikan media itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

Pulau Langkawi menjadi perintis bagi projek Gelembung Pelancongan di negara ini bermula pada 16 September 2021. Kerajaan mengumumkan kebenaran mengunjungi Langkawi dengan prosedur dan peraturan yang ketat sebagai langkah membendung penularan COVID-19 kesan daripada kedatangan pelancong ke pulau lagenda itu. Namun demikian, hanya pengunjung yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan memasuki Langkawi.

Bercakap tentang kesan positif yang dicapai melalui rancangan Gelembung Pelancongan itu, Tuan Nasaruddin Abdul Mutalib menambah, “Dalam tempoh dua minggu pertama selepas dibuka kepada pelancong luar, Langkawi menyasarkan 30 ribu kedatangan pelancong, namun jumlah yang dicatatkan melebihi sasaran, iaitu sebanyak 38 784 pengunjung pada bulan September.

Kemudian, pada bulan Oktober pula, Langkawi dijangka akan menerima 60 ribu kemasukan pengunjung. Jumlah itu juga diyakini akan melebihi sasaran apabila pada pertengahan bulan Oktober sahaja, kehadiran pengunjung ke Langkawi mencecah angka 51 400 ribu pengunjung.”

Menurut beliau lagi, kemasukan pengunjung secara harian ke Langkawi juga menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan jumlah 3700 pengunjung sehari. Begitu juga dengan jumlah penerbangan ke Langkawi yang beroperasi sebanyak 25 penerbangan sehari. Hal ini hampir memenuhi keupayaan maksimum Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Selepas pembukaan Langkawi untuk dikunjungi oleh pelancong setelah lama ‘sunyi’ akibat pandemik COVID-19, bilangan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah yang membawa pengunjung ke Langkawi juga semakin bertambah dari sehari ke sehari, iaitu melebihi 1000 orang pelancong sehari,” kata Tuan Nasaruddin dalam nada gembira.

Sememangnya Gelembung Pelancongan di Langkawi berjaya dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha menggerakkan kempen “selamat untuk melancong” dalam suasana negara, termasuk Langkawi yang masih berhadapan dengan virus COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.