4 Oktober 2021, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

LANGKAWI- Industri pelancongan di Langkawi berjaya menjana pendapatan kira-kira RM15.97 juta melalui projek rintis gelembung pelancongan yang bermula pada 16 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Encik Nasaruddin Abdul Muttalib menjelaskan, projek rintis tersebut telah mencapai satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

Sehingga 30 September, Langkawi telah menerima sebanyak 38 748 pelancong secara keseluruhan, iaitu melebihi daripada jumlah sasaran awal sekitar 30 000 orang. “Jika jumlah sebegini dapat dikekalkan, tidak mustahil sasaran pihak kerajaan untuk menerima 400 000 pelancong sehingga Disember tahun ini dapat dicapai,” jelas beliau dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut Nasaruddin, daripada jumlah itu, sebanyak 26 377 pelancong masuk ke Langkawi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7480 orang menggunakan Terminal Feri Kuah dan 4891 orang masuk melalui Jeti Tanjung Lembong. Jelas beliau lagi, pembukaan semula Langkawi dilihat mampu menjana kembali pendapatan penduduk tempatan.

“LADA juga menyasarkan sebanyak 60 000 orang pelancong akan mengunjungi Langkawi dalam bulan ini sahaja,” ujar beliau. Sementara itu, LADA juga sedang berusaha untuk melaksanakan gelembung pelancongan antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Gelembung pelancongan antarabangsa itu kini sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Menurutnya Nasaruddin, negara seperti Rusia, Poland, Singapura dan China telah menyatakan hasrat untuk menjadi tetamu terawal untuk melancong ke Langkawi.

“Rundingan juga telah dibuat dengan syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan untuk merancang penerbangan berjadual dan penerbangan sewa khas bagi gelembung pelancongan antarabangsa,” jelas beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.