13 April 2021, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR, 13 April 2021 – Demi menyediakan saluran pelaburan terbuka untuk me­labur dalam pelbagai portfolio ekuiti, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan juga deposit Islam yang mematuhi prinsip syariah, Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) telah melancarkan Dana Wakaf Al-Ihsan.

Kenanga Investors bertindak sebagai rakan strategik pertama yang bekerjasama secara aktif dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dalam pengembangan wakaf sejak mandat Belanjawan Negara 2021 pada tahun lepas yang menyeru lebih banyak libat urus antara YWM dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta, untuk memacu pembangunan wakaf di dalam negara.

Dalam usaha sama antara kedua-dua institusi, YWM dilantik sebagai penerima dan pentadbir Dana wakaf. Dana Wakaf Al-Ihsan merupakan saluran pelaburan terbuka yang membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio ekuiti, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan deposit Islam yang mematuhi prinsip Syariah. Sejajar dengan prinsip wakaf, separuh daripada pendapatan yang diperoleh akan diagihkan kepada pelbagai sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pemuliharaan atau pembangunan alam sekitar.

Dalam pelancaran tersebut, Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors berkata, “Memandangkan Kenanga Investors telah menerajui pelbagai pencapaian perintis dan inovatif industri dalam industri pengurusan dana, maka langkah yang seterusnya adalah untuk mengembangkan pelaburan Syariah kami.

Potensi wakaf, iaitu suatu saluran yang berasaskan filantropi Islam, akan menjadi sangat bermakna dalam memberikan impak yang positif kepada aspek ekonomi dan sosial golongan yang kurang bernasib baik. Dana ini akan berfungsi sebagai landasan pelancaran bagi produk serupa yang lain, yang berkaitan dengan ESG, sebagai sebahagian daripada langkah Kenanga Investors ke arah pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab secara sosial.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Profesor Madya Dr. Amir Shaharuddin berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kenanga Investors kerana dapat mengembangkan harta wakaf sedia ada, mewujudkan wakaf baharu serta membangunkan ekonomi ummah menerusi instrumen wakaf.

Menurut Profesor Madya Dr. Amir, konsep wakaf merupakan satu daripada institusi sosioekonomi teras Islam yang menggalakkan umat Islam untuk bergerak secara inovatif dalam menjana hasil dan menyediakan pelbagai barangan, serta perkhidmatan kepada komuniti masing-masing. Seterusnya, mengharapkan inisiatif ini dapat memberikan kesedaran dan minat yang tinggi disebabkan oleh ciri altruistiknya, terutamanya dalam iklim sosial pada hari ini yang akan membawa kepada pemerkasaan masyarakat dan pengurangan kemiskinan.

Dana ini sesuai untuk pelabur dermawan. Selain itu, dapat meningkatkan pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan yang stabil melalui kaedah pempelbagaian yang meluas dan pengurangan risiko. Jumlah pelaburan minimum awal ialah RM1000 dengan setiap pelaburan tambahan pada nilai RM100.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.