16 Mac 2021, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bulan Mac 2021 menandakan ulang tahun pertama warga Malaysia terus berdepan dengan kebiasaan baharu seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penjarakan fizikal, bekerja dari rumah dan pemakaian pelitup muka, namun bagi sebahagian rakyat negara ini, 12 bulan lalu merupakan permulaan cabaran getir dalam hidup mereka.

Ada yang terjejas pendapatan bulanan, hilang pekerjaan atau terpaksa menutup perniagaan, dan lebih perit lagi tidak dapat mencari sumber pendapatan baharu dalam suasana ekonomi negara dan juga dunia masih tidak menentu.

Bukan setakat itu sahaja, malah terdapat syarikat gergasi bertindak menutup operasi, pusat membeli belah gulung tikar, serta peniaga-peniaga kecil yang tidak mampu menampung beban kos operasi kerana sudah mengatasi had pusingan modal dan pembayaran hutang. Jika majikan tidak mampu meneruskan operasi seperti kebiasaannya, maka pekerja terpaksa dikurangkan ataupun diberhentikan apabila operasi mereka terpaksa ditutup sepenuhnya.

Impak ekonomi merudum ini akan menjejaskan kesihatan minda dalam kalangan mereka yang terjejas, termasuklah majikan, pekerja mahupun ahli keluarga. Mereka berdepan tekanan besar bagi mencari sumber pendapatan secukupnya untuk mengelak diri dan keluarga kelaparan, atau lebih teruk lagi hilang tempat berteduh. Keadaan ini mendorong sesetengah individu mengambil langkah drastik yang menjejaskan diri dan masyarakat setempat.

Impak ekonomi terhadap kesihatan mental bukan hanya berlaku di Malaysia, malah dihadapi di seluruh dunia. (Sumber: Parastoo Maleki)

Pensyarah dan Ahli Psikologi Klinikal, Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Siti Inarah Hashim menjelaskan, impak ekonomi terhadap kesihatan mental bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dihadapi penduduk di seluruh dunia.

“Kesihatan mental merujuk kepada keadaan seseorang yang dapat berfungsi setiap hari, termasuklah dalam perhubungan sekeliling dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat, selain kemampuan menghadapi tekanan atau masalah hidup dengan cara yang sihat termasuklah ekspresi emosi dan pemikiran dengan cara yang sihat dan betul.”

Kita dapat lihat sebelum bermulanya pandemik ini lagi, boleh dikatakan satu daripada setiap empat individu dipercayai mempunyai masalah gangguan mental. Jumlah ini dijangka bertambah ketika berdepan kesukaran hidup dalam kebiasaan baharu kini, lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi seperti hilang pekerjaan atau sumber pendapatan,serta kesunyian kerana kekangan daripada berjumpa dengan ahli keluarga dan rakan-rakan,” jelas beliau.

Beliau memaklumkan antara gejala biasa yang memberikan impak kepada kesihatan mental manusia termasuklah kemurungan, kerisauan yang terlampau atau rasa cemas yang keterlaluan (anxiety), tekanan perasaan dan sebagainya.

Jelas beliau, jika gejala itu tidak dirawat dan dibiarkan berlarutan, tahap kesihatan mental individu berkenaan akan bertambah buruk dan mungkin mendorong mereka mengambil keputusan melulu sehingga memberikan kesan negatif kepada diri dan masyarakat.

Beberapa kajian menunjukkan ada peningkatan kes membunuh diri berbanding dengan perangkaan biasa yang sejajar dengan impak ekonomi pada awal PKP tahun lalu. Begitu juga laporan kes-kes jenayah yang melihatkan golongan terdesak mencari sumber makanan untuk diri dan keluarga.

“Keadaan diharap akan segera pulih dan ekonomi mungkin boleh bangun semula selepas pandemik ini beransur-ansur meninggalkan kita. Walau bagaimanapun, jika gejala atau keadaan mental mereka diabaikan, mungkin mereka akan mengalami kesukaran untuk bangun semula dan kembali menyumbang kepada ekonomi diri serta pembangunan negara.”

“Hal ini mungkin melambatkan atau memberikan impak buruk kepada pembangunan semula ekonomi Malaysia yang sudah terjejas teruk akibat pandemik ini,” tegas Dr. Siti Inarah.

Beliau berharap rakyat Malaysia cakna dan peka terhadap gejala-gejala situasi kesihatan mental diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka, termasuk cara untuk mendapatkan bantuan pakar psikologi.

“Dapatkan cara terbaik untuk mengurangkan tekanan, luangkan masa dengan keluarga dan rakan walaupun cuma dalam talian, bersenam dan jika ada gejala kemurungan, rasa cemas dan sebagainya, dapatkan rawatan sewajarnya. Tekad dalam minda sekalipun bukan untuk diri kita, jagalah kesihatan dan kekuatan minda untuk orang tersayang kerana seburuk mana pun situasi sekarang, pasti ada jalan penyelesaiannya. Beringat bahawa diri kita masih diperlukan ahli keluarga, rakan-rakan dan juga negara,” ujar beliau lagi.

COVID-19 mungkin musibah paling teruk pernah dihadapi rakyat negara ini, pastinya bukan musibah terakhir untuk kita. Setiap seorang warga Malaysia perlu mempunyai kekuatan minda untuk mengharungi apa-apa jua cabaran hidup dan jangan sesekali mengambil jalan mudah yang akan menjejaskan diri, keluarga dan orang di sekeliling kita.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi