12 Mac 2021, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Evolusi dunia seolah-olah mengawal pergerakan manusia. Dunia dilihat semakin pantas bergerak, negara semakin bersaing antara satu sama lain menuntut kemajuan, dan manusia pula berlumba-lumba ingin menjadi jaguh terhebat. Sesiapa yang bijak dan cepat, merekalah yang akan meraih keuntungan. Pada hakikatnya, tidak semua orang mampu melangkah seiring dengan kepesatan industri, lebih-lebih lagi apabila dunia berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.

Bayangkan, impak daripada pandemik COVID-19 ini sahaja mampu mengubah pola kehidupan manusia, malah membantutkan produktiviti ekonomi negara. Meniti hari-hari dengan COVID-19 yang tidak tahu pengakhirannya, banyak tekanan dan keluhan penderitaan daripada banyak pihak seperti golongan B40, M40, orang kurang upaya (OKU), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuklah penggiat seni tanah air.

Dengan kesempatan dan kepekaan semasa, sidang editor Dewan Ekonomi (DE) memilih untuk mewawancara Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Ahli Parlimen Indera Mahkota secara eksklusif. Beliau merupakan figura yang sangat berpengalaman dalam tiga rejim yang berbeza, malah berperanan penting untuk memperjuangkan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan, di samping membantu kelangsungan pendapatan dan kebajikan mereka.

Sedar ataupun tidak sedar, industri kreatif merupakan satu daripada aset penting dalam pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya bagi negara maju yang berpendapatan tinggi. Namun begitu, benarkah persepsi terhadap industri kreatif seperti yang digambarkan itu? Bagi meleraikan persoalan yang timbul, ikuti wawancara yang selanjutnya.

YB Dato’ Saifuddin Abdullah
27 Januari 1961
Temerloh, Pahang
Ahli politik
Pendidikan:
Kursus Eksekutif, Harvard Business School (1995)
Diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia (1985)
Sarjana Muda Sastera (kepujian) dari Universiti Malaya (1984)
Kolej Melayu Kuala Kangsar (1974–80)
Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab, Pahang (1968–1973)
Menteri Komunikasi dan Multimedia
10 Mac 2020 hingga kini
Anggota Parlimen Malaysia Indera Mahkota
10 Mei 2018 hingga kini
Pengerusi Badan Perhubungan Negeri,
Parti Perikatan Nasional Pahang

5 Januari 2021 hingga kini
Ketua Badan Pimpinan Negeri
Parti Pribumi Bersatu Malaysia Pahang

2008–2013
Menteri Luar Negeri
2 Julai 2018–24 Februari 2020
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan
2015–2020
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
8 Mac 2008–2013
Anggota Parlimen Temerloh
8 Mac 2008–5 Mei 2013
DE: Ketika pandemik masih menyerang Malaysia, bagaimanakah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) membantu penggiat seni dalam industri kreatif agar tidak terjejas sumber pendapatan utama mereka?

Sebagai langkah awal sebaik-baik sahaja kita berhadapan dengan pandemik, pihak kerajaan telah memperuntukkan beberapa bentuk dana sumbangan bantuan, termasuklah PENJANA, PRIHATIN dan PERMAI, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bagi membantu golongan yang terjejas ini.

Seiring dengan usaha kerajaan, KKMM juga turut menyalurkan bantuan bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan oleh penggiat seni melalui Dana Kandungan Digital (DKD), agensi di bawah KKMM sendiri seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Bagi mencapai matlamat tersebut, FINAS telah memberikan peluang kepada penggiat seni yang rata-ratanya kehilangan pekerjaan ketika pandemik dan sukar menjana pendapatan, untuk berkarya dan mengembangkan bakat mereka melalui program secara dalam talian, dan program ziarah rumah ke rumah penggiat seni/bekas penggiat seni, di samping memastikan industri ini terus bergerak aktif.

Yang menariknya pada mukadimah tahun 2021, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) telah melancarkan program “Nyanyi dari Rumah” dan “Muzik dari Rumah” secara dalam talian di YouTube dan laman web Muzik Malaysia. Dengan penglibatan penggiat seni dalam program ini, secara tidak langsung dapat membantu mereka, terutamanya yang hanya bergantung pada pekerjaan industri kreatif untuk beroleh honorarium sebagai sumber kelangsungan harian.

Dalam hal ini, saya mencadangkan FINAS agar memberikan sebanyak yang mungkin honorarium kepada mereka seperti yang diperuntukkan dalam belanjawan, sebaik-baik sahaja selesai kerja penggambaran. Walau bagaimanapun, pembayaran honorarium itu perlulah berasaskan piawaian dan mengikuti proses yang ditetapkan, seperti melalui Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Pelulus. Hal ini sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit ruang kepada penggiat seni untuk bernafas.

Sehubungan dengan itu, KKMM juga menjalinkan hubungan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan 50 buah rumah PPR, iaitu Program Perumahan Rakyat kepada penggiat seni atau mereka yang pernah terlibat dengan industri seni dan kreatif ini. Sebanyak 50 buah rumah PPR, iaitu Program Perumahan Rakyat dibangunkan dan disediakan kepada mereka agar ada tempat untuk berteduh.

DE: Menyentuh tentang kehidupan penggiat seni, masyarakat sering melihat kehidupan mereka dipenuhi dengan serba-serbi berkemampuan, namun pada hakikatnya tidak semua bernasib baik seperti yang digambarkan. Mengapakah situasi ini boleh berlaku?

Benar, tidak dinafikan bahawa penggiat seni mempunyai pengaruh yang kuat, malah semua gerak-geri yang dilakukan pasti mendapat perhatian orang ramai. Namun begitu, tidak adil hanya melihat sebahagian penggiat seni itu hidup mewah dan terus melabelkan semua penggiat seni juga hidup dalam kemewahan serta mempunyai simpanan pendapatan yang banyak.

DE: Rentetan daripada sumber pendapatan penggiat seni dan tenaga kerja produksi belakang tabir yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan memperuntukkan sebanyak 15 juta kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) melalui Belanjawan 2021. Adakah peruntukan ini sudah mencukupi berdasarkan Dasar Industri Kreatif Negara?

Menyokong, mengenal pasti dan merancang langkah terbaik merupakan satu kepentingan kerajaan dalam usaha meningkatkan dana industri kreatif, di samping membantu penggiat seni menghasilkan karya kesenian dan kebudayaan, serta menjamin kelangsungan hidup mereka. Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang bertunjangkan tiga skop utama, iaitu Multimedia, Seni Budaya dan Warisan Budaya ini berfungsi sebagai pemangkin untuk memenuhi keperluan industri dan menyokong pembangunan dan kemajuan setiap industri di bawahnya.

Tidak dinafikan COVID-19 sangat memberikan kesan kepada semua pihak, termasuklah industri seni kreatif. Pakej PRIHATIN yang diberikan oleh kerajaan sememangnya membantu untuk penggiat seni kembali bergerak aktif, seterusnya menjamin kelangsungan sumber pendapatan mereka.

Bagi saya, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disalurkan kepada penggiat seni ini sebenarnya menjadi titik permulaan ekonomi pemain industri kembali bangkit meneruskan aktiviti dan perniagaan industri kreatif susulan daripada kesan pandemik COVID-19. Malah, terdapat pelbagai agensi di bawah KKMM, seperti CENDANA di bawah tadbir urus MyCreative Ventures Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang membuka ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat yang berbakat untuk menghasilkan berkarya kreatif, sama ada dalam aspek multimedia, seni budaya atau warisan budaya. Selain itu, BPK juga ditubuhkan dalam kementerian ini sebagai satu bahagian yang menentukan hala tuju pembangunan kandungan, serta menjaga bajet industri kreatif secara keseluruhannya, termasuklah muzik.

Secara umumnya, jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan sudah memadai untuk mereka melunaskan tanggungjawab dalam dunia industri kreatif ini. Selain itu, mereka perlu menggunakan peluang dana ekonomi ini untuk melestarikan ekosistem industri seni dan bekerja dalam kebiasaan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

DE: Apakah inisiatif penggiat seni itu sendiri dalam usaha mencari jalan penyelesaian lain untuk meningkatkan produktiviti bakat mereka dalam dunia industri kreatif ini?

Mutakhir ini, Fauziah Nawi yang lebih dikenali sebagai pengarah dan pelakon Malaysia membuat satu pembaharuan dalam dunia teater daripada sebelumnya, iaitu tayangan pertama teater secara dalam talian yang berjudul, Rasa yang diilhamkan daripada karya Usman Awang, Sasterawan Negara. Hal ini disebabkan oleh dunia teater juga turut menerima tempias dalam kesukaran untuk mencari sumber rezeki apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membatasi operasi rakaman dan pergerakan penggiat seni.

Oleh itu, dengan bantuan KKMM dan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), pementasan teater ini dapat dilakukan dengan lancar. Walaupun pada hakikatnya, aktiviti pementasan lakonan, rakaman dan penyiarannya dilakukan secara berasingan kerana mengikuti norma baharu yang ditetapkan oleh kerajaan demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Namun begitu, tayangan teater ini mendapat sambutan dan penerimaan yang menggalakkan apabila ramai yang membeli tiket dan menonton secara maya.

Ternyata, industri kreatif ini sebenarnya boleh keluar dari kepompong dengan jayanya jika berani melakukan perubahan berdasarkan peredaran semasa dan pandai mengambil peluang walaupun berada dalam krisis pandemik. Oleh hal yang demikian, industri kreatif mula disenangi dan dianggap sebagai satu daripada komponen ekonomi yang penting.

DE: Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum, dan pastinya juga berbilang bakat dan kreativitinya. Sejauh manakah Dato’ fikirkan industri kreatif ini mampu merancakkan ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan?

Industri kreatif sebenarnya sudah mulai diiktiraf sebagai komponen penting dalam sektor ekonomi. Hal ini tidak bermaksud bahawa industri ini tidak diiktiraf sebelumnya, tetapi pada masa sekarang, industri kreatif semakin dilihat oleh masyarakat mahupun dalam pentadbiran kerajaan itu sendiri. Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), saya menjangkakan pemerkasaan pembangunan industri kreatif akan diberikan tempat yang sewajarnya sebagai satu daripada komponen pembangunan ekonomi negara. Selain itu, hal ini mampu menjadi satu gabungan penjalinan (convergence) antara industri kreatif dengan ruang dunia pendigitalan untuk membentuk kelebihan dalam persaingan.

Sebagai contoh, penggabungan jalinan dunia kreatif dan digital dapat dilihat dalam karya filem animasi Malaysia yang popular, yakni Upin&Ipin. Filem ini dikatakan benar-benar memberikan impak penggunaan teknologi grafik yang terbaik dan bertaraf antarabangsa. Dengan rancangan yang tepat dan teliti, filem animasi kanak-kanak ini juga dapat menarik tumpuan segenap lapisan masyarakat dunia apabila intipati penceritaannya mencerminkan seni dan budaya negara yang tersendiri. Seterusnya, secara tidak langsung filem ini juga mampu menghasilkan sumber keuntungan yang lumayan terhadap ekonomi. Selain itu, penglibatan anak muda dalam permainan video juga dapat merancakkan ekonomi apabila berjaya dikenali pada peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, pelbagai inisiatif dilakukan oleh FINAS, antaranya termasuklah Dana Kandungan Digital (DKD) atau Pelan Langkah Segera Dana Kandungan Digital (PELAKSANA) dengan memberikan manfaat kepada 39 buah syarikat produksi yang melibatkan peruntukan RM13.381 juta. DKD juga melaksanakan Dana Mikro, Pemasaran, Filem Cereka, Dokumentari dan Public Service Announcement (PSA) sebagai inisiatif yang berkesan hingga berjaya mewujudkan 5000 peluang pekerjaan, di samping memperbanyakkan pemilikan Hak Cipta Kandungan dalam kalangan penerbit tempatan.

DE: Pada pandangan Dato’, mengapakah golongan Bumiputera sering dianggap tidak bersifat terbuka untuk menjinakkan diri dalam kegiatan perniagaan, malah lebih selesa “makan gaji”?

Sewaktu ketika dahulu, pandangan ini mungkin mempunyai kebenarannya. Namun begitu, tidak lagi apabila muncul generasi milenium yang celik teknologi, serta mempunyai pelbagai kebolehan dan kemahiran dalam melakukan suatu kerja. Saya dapati bahawa semakin ramai sudah mula berjinak-jinak ke arah keusahawanan, sama ada mereka sememangnya ingin menjadi seorang usahawan atau ingin menjadikan keusahawanan ini sebagai tapak untuk mencari sumber pendapatan tambahan.

Secara umumnya, kegiatan keusahawanan ini mungkin tidak banyak dilihat kepada generasi X berbanding dengan generasi kini. Jika seseorang itu ingin melalukan sesuatu pekerjaan sambilan pada suatu ketika dahulu, misalnya menjadi guru di pusat tuisyen, mereka mempunyai keperluan untuk pergi ke premis tersebut secara fizikal untuk mengajar murid-murid. Hal ini demikian pada ketika dahulu tiada galakan penggunaan teknologi digital atau desakan semasa seperti situasi darurat sekarang.

Situasi dunia semakin berbeza apabila hampir semua keperluan harian terpaksa dilakukan secara dalam talian. Ekoran itu, banyak anak muda terutamanya golongan Bumiputera yang sudah menceburi kegiatan perniagaan kecil-kecilan dalam talian seperti menjual makanan, baju, peralatan, dan banyak lagi. Sebagai contoh terdekat, anak saya membuat jualan kek batik sebagai satu pekerjaan sambilan untuk meningkatkan sumber pendapatan. Perkara yang saya lihat, penjual kek ini hanya sekadar mempromosikan jualan secara dalam talian tanpa memerlukan sebuah kedai secara fizikalnya sudah mampu menjalankan suatu perniagaan dengan baik. Mereka hanya memerlukan alat pembuat kek di rumah sudah memadai untuk menghasilkan kek seperti permintaan pelanggan tanpa membazirkan kos, tenaga dan masa secara amnya.

Tambahan lagi, perniagaan ini juga menjadi lebih mudah apabila wujudnya platform penghantaran barang atau makanan secara dalam talian, seperti Grab, FoodPanda dan Lalamove. Perniagaan ini secara tidak langsung memudahkan seseorang peniaga untuk mencari sumber pendapatan tambahan dengan mudah dan efisien. Bertapa canggihnya perkembangan teknologi kini dapat membantu peniaga mahupun masyarakat umum walaupun berada dalam tempoh PKP yang membatasi pergerakan dan operasi perniagaan tersebut.

Dalam kesukaran berdepan dengan wabak ini, hakikatnya banyak perkara yang mengajar kita untuk lebih maju. Bahkan, hal ini sebenarnya mampu menjadi satu peluang dan galakan kepada generasi muda, Bumiputera mahupun kepada golongan terjejas, seperti B40 dan PKS untuk lebih berjinak-jinak ke dunia keusahawanan, dan seterusnya menjadi individu yang berdaya saing dalam ekonomi dunia.

DE: Adakah KKMM mempunyai hubungan kerjasama antara kementerian lain, khususnya berkaitan dengan pengantarabangsaan industri kreatif?

Bagi memperkasa industri kreatif negara, sejak berada di KKMM, saya komited dalam hala tuju pembangunan industri kreatif yang holistik dan komprehensif. Saya bersama-sama dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri telah menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Kreatif Negara (MPIKN) yang turut dianggotai oleh wakil agensi industri kreatif. MPIKIN diperkenalkan untuk dijadikan sebagai platform bersepadu yang menyelaraskan isu berkaitan dengan industri kreatif, serta mewujudkan ekosistem yang inklusif, futuristik dan bertaraf antarabangsa antara semua agensi.

Industri ini seharusnya dilihat dengan satu pandangan sarwa yang lebih besar dan tepat melalui empat komponen, yakni Warisan, Seni, Media dan Kreatif Fungsional. Kita tidak mahu ada sesetengah perkara dalam industri ini tercicir. Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) perlu ditambah baik, dan mengambil kira golongan bertanggungjawab dalam bidang tertentu. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap perancangan perlu dilaksanakan dengan berhemah, adil, telus dan berkesan.

Pada peringkat awal, kita difahamkan bahawa dunia muzik selama ini tidak mempunyai pihak yang menjaga pembangunannya secara keseluruhan. Hal ini hanya disedari apabila timbulnya krisis tentang harta intelek. Oleh itu, terdapat bidang kreatif ini yang perlu diletakkan di bawah kementerian tertentu dan melakukan audit terhadap apa-apa yang telah dilaksanakan agar nasib penggiat seni akan terbela.

Dalam konteks ini, kerjasama perlulah dipupuk dengan lebih rapat antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah perbadanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) berkaitan dengan krisis harta intelek, dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula berkaitan dengan acara atau program nyanyian nasyid.

Kami mempunyai pelbagai perancangan dalam menentukan beberapa teras strategik KKMM. Satu daripada teras strategik ialah memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global. Sebagai contohnya, kami menawarkan peluang yang lebih banyak dalam penghasilan karya dan filem patriotik yang berkualiti bertaraf antarabangsa, seperti filem tempatan memenangi Anugerah Oskar dan muzik tempatan memenangi Anugerah Grammy melalui Perbadanan Muzik. Penganjuran Anugerah Nasyid Kebangsaan dan Antarabangsa juga dilaksanakan dan dijangkakan bakal mengangkat Malaysia sebagai pusat tumpuan pembangunan karya nasyid pada peringkat pengantarabangsaan. Selain itu, bagi pengantarabangsaan industri kreatif terus diangkat dan menjadi perintis pembangunan ekonomi negara, KKMM turut bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri.

“Industri kreatif seharusnya dilihat dengan satu pandangan sarwa yang lebih besar dan tepat melalui empat komponen, yakni Warisan, Seni, Media dan Kreatif Fungsional.”

“Kami juga menawarkan peluang yang lebih banyak dalam penghasilan karya dan filem patriotik yang berkualiti bertaraf antarabangsa, seperti filem tempatan memenangi Anugerah Oscar dan muzik tempatan memenangi Anugerah Grammy melalui Perbadanan Muzik.”

DE: Penularan wabak COVID-19 masih tidak menemui penghujungnya, bagaimanakah pula Dato’ melihat kelangsungan industri panggung wayang di Malaysia?

Sebaik-baik sahaja selepas PKP fasa pertama ditamatkan, kerajaan telah membenarkan industri panggung wayang (atau lebih dikenali sebagai pawagam) untuk beroperasi seperti biasa dengan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan. Begitu juga membenarkan penggambaran filem, drama, dokumentari dan pengiklanan diteruskan. Namun begitu, apabila PKP fasa kedua dilaksanakan, sememangnya industri ini berhadapan dengan masalah, malahan sudah ada sesetengah pawagam yang tidak mampu beroperasi atas sebab pelbagai faktor.

Akan kepentingan kelangsungan industri ini, FINAS, MyCreative Ventures dan MDEC membuat satu sesi perjumpaan bersama-sama dengan beberapa persatuan syarikat pawagam tempatan, untuk memahami situasi dan keperluan mereka ketika pandemik ini. Namun begitu, ada sesetengah pihak yang mengkritik usaha ini kerana berpendapat bahawa mereka (pihak pawagam dan penggiat seni) ini datangnya daripada individu atau syarikat yang besar. Pada hakikatnya, kita perlu sedar bahawa setiap pawagam itu mempunyai pekerja, dan pekerja tersebut ialah rakyat biasa. Jika pawagam ditutup, mata pencarian mereka juga akan tertutup.

Walaupun terdapat perkembangan positif dalam usaha negara memerangi COVID-19, keadaan masih belum pulih sepenuhnya. Nyawa dan keselamatan perlu diutamakan, bukan sekadar memikirkan hasil dapatan penjanaan ekonomi negara. Sehingga kini, kita tidak dapat menjangkakan lagi waktu yang sesuai untuk sektor pawagam kembali beroperasi. KKMM menerima banyak senarai filem yang belum ditayangkan dan terpaksa ditangguhkan rakamannya, serta ada filem dari luar negara yang dijangkakan boleh membuahkan hasil terhadap ekonomi juga belum berkesempatan untuk ditayangkan.

Dalam usaha mengimbangi antara kesihatan dengan ekonomi negara, KKMM khususnya MDEC sedia memberikan bantuan dari segi pengeluaran dan peruntukan, misalnya membuat hubungan kerjasama dengan syarikat stesen televisyen, seperti RTM, Media Prima dan Astro Awani Sdn. Bhd. agar penerbit produksi tidak terjejas dan mampu merancakkan semula ekonomi negara.

Kita perlu sedar bahawa setiap pawagam itu mempunyai pekerja, dan pekerja tersebut ialah rakyat biasa. Jika pawagam ditutup, mata pencarian mereka juga akan tertutup. Akan kepentingan kelangsungan industri ini, FINAS, MyCreative Ventures dan MDEC membuat satu sesi perjumpaan bersama-sama dengan beberapa persatuan syarikat pawagam tempatan, untuk memahami situasi dan keperluan mereka ketika pandemik ini.

DE: Mengapakah masih ada rungutan daripada sektor pawagam bahawa pengoperasian mereka dikatakan tidak membawa pulangan modal, walaupun kerajaan telah memperuntukkan dana dan memberikan kelonggaran SOP untuk kembali beroperasi?

Kami sedar akan masalah yang dihadapi, malah kami sangat simpati dan mengharapkan PKP ini disegerakan tamat seiring dengan pengakhiran penularan jangkitan COVID-19 kepada manusia. Secara umumnya, hal ini sebenarnya mempunyai perkaitan atau sangkut paut antara pihak pawagam dengan syarikat penerbit produksi dan pelbagai pihak yang lain. Pada dasarnya, kebanyakan masyarakat hanyalah nampak pawagam ditutup, namun mereka tidak nampak di belakang tabir mempunyai pihak lain yang terlibat. Sebagai contoh, syarikat produksi juga menerima tempias apabila tidak dapat beroperasi seperti biasa untuk memulihkan kembali pulangan modal yang digunakan dan pelbagai faktor lain juga.

DE: Bagaimanakah perspektif yang boleh digambarkan oleh Dato’ tentang potensi kerjasama Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN1) dalam mewujudkan blok digital ekonomi?

Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) merupakan satu jawatankuasa baharu yang dipengerusikan oleh Malaysia, dan diberikan nafas baharu melalui Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025). Matlamatnya ialah menjadikan ASEAN sebagai hab ekosistem digital yang kompetitif dengan perkhidmatan dan teknologi yang selamat.

Berdasarkan statistik, ASEAN mempunyai kedudukan potensi yang besar dalam mewujudkan blok digital ekonomi negara kerana populasi penduduk sangat ramai, dan 650 juta daripadanya ialah generasi digital natives. Generasi digital natives ialah generasi yang lahir pada zaman pembangunan kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan lingkungan umurnya 30 tahun ke bawah atau mulai tahun 1990 sehingga kini. Dari sudut ini sahaja menunjukkan bahawa ASEAN sudah ada pasaran yang terbesar dan tersedia dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Hal ini merupakan satu kelebihan yang sangat baik untuk menarik pelabur, di samping memajukan sektor ekonomi digital.

Walaupun dalam 10 buah negara ASEAN (Malaysia, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Thailand, Laos, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Singapura) ini mempunyai jurang dari segi pembangunan digital, tetapi bakat yang wujud dalam setiap negara ASEAN itu sebenarnya cukup besar. Setiap negara ASEAN boleh membariskan kejayaannya tersendiri dalam ekonomi digital, termasuklah penonjolan bakat dalam industri kreatif. Dengan memiliki kekuatan sedia ada, kadar pembangunan penetrasi Internet di setiap negara ASEAN juga dilihat baik, iaitu 70 peratus bersamaan dengan 400 juta penduduk (lebih tinggi daripada kadar purata dunia) boleh mengakses pangkalan Internet.

Namun begitu, cabaran ASEAN ialah dari segi ekonomi, yakni kegiatan dalaman sesama negara ASEAN masih rendah. Maka timbul persoalan, bagaimanakah cara untuk kita melonjakkan perdagangan intra ASEAN? Sekiranya kerajaan mampu mengatasi atau menangani masalah ini, pastinya negara ASEAN mampu menjadi sebuah wilayah atau rantau pembangunan ekonomi digital yang komprehensif dan kompetitif. 

Lapan Matlamat Keberhasilan mencapai Wawasan ADM 2025

  • Mengutamakan pemulihan ASEAN daripada pandemik COVID-19.
  • Peningkatan kualiti dan capaian infrastruktur jalur lebar tetap dan mudah alih.
  • Penyampaian perkhidmatan digital yang dipercayai dan pencegahan kemudaratan kepada pengguna.
  • Pasaran yang berdaya saing dan mampan bagi penawaran perkhidmatan digital.
  • Peningkatan kualiti dan penggunaan perkhidmatan e-Kerajaan.
  • Perkhidmatan digital untuk menghubungkan perniagaan dan menggalakkan perdagangan rentas sempadan.
  • Peningkatan kemampuan perniagaan dan penglibatan rakyat dalam ekonomi digital.
  • Masyarakat digital ASEAN yang inklusif.

Dengan memiliki kekuatan sedia ada, kadar pembangunan penetrasi Internet di setiap negara ASEAN juga dilihat baik, iaitu 70% bersamaan dengan 400 juta penduduk (lebih tinggi daripada kadar purata dunia) boleh mengakses pangkalan Internet.

DE: “Malaysia Nadi Digital ASEAN”. Bagaimanakah KKMM menggalakkan pihak berkepentingan mempercepatkan dunia digital bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu?

Sasaran “Malaysia Nadi Digital ASEAN” ialah satu daripada cita-cita negara dalam usaha meningkatkan tahap kesalinghubungan digital melalui pengalaman pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh dalam pelbagai sektor, termasuklah sektor seni dan  kreatif. Malaysia mempunyai pelbagai kekuatan dari segi kebolehan bakat dan idea inovasi yang bertaraf global.

Sebagai contoh, hakikatnya, idea penciptaan pemacu pena (atau lebih dikenali sebagai pendrive) yang pertama di dunia sebenarnya diilhamkan oleh anak jati Malaysia. Namun begitu, pembangunan idea ini terlepas ke negara lain disebabkan oleh kelemahan negara pada ketika itu yang tidak mempunyai ekosistem yang kukuh bagi membina sesuatu produk berteknologi dalam tempoh yang singkat. Halangan ini juga terkesan apabila campur tangan birokrasi dan beberapa isu lain dibangkitkan. Sepatutnya, pihak berkepentingan bersama-sama rakyat perlu menggembleng tenaga untuk pembangunan ekosistem digital negara yang kompetitif agar tidak lagi peluang atau bakat yang dilahirkan terlepas kepada tangan orang lain. Oleh sebab itu, Majlis Digital Negara dan 4IR Negara diperkenalkan untuk tujuan penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital.

Pendidikan menjadi satu rahsia kejayaan sesuatu negara maju. Berdasarkan kajian, kebanyakan latar pendidikan rakyat Malaysia lazimnya hanya tertumpu ke arah bidang profesional konvensional seperti peguam, doktor, arkitek, jurutera dan akauntan. Perkara ini sewajarnya dipuji, namun rakyat kita perlu didedahkan dengan bidang profesional baharu, seperti saintis data, teknologi, biologi, robotik dan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Ternyata, ketika negara dilanda pandemik COVID-19, negara kita sebenarnya tidak mempunyai ahli pakar perubatan dalam penghasilan vaksin sebagai penawar COVID-19. Sebaliknya, negara kita terpaksa menunggu pakar luar untuk penghasilan dan penerimaan vaksin bagi merawat penyakit berjangkit ini.

Oleh hal yang demikian, inisiatif pembangunan tenaga profesional baharu ini perlu dipertingkatkan demi kepentingan negara. Dalam Rancangan Malaysia ke-12, saya membayangkan satu gambar rajah berkaitan dengan isu permasalahan ini dikaji selidik, dan seterusnya diusahakan pembangunannya. Percayalah, jika usaha ini tidak dilaksanakan mungkin kita tidak mampu merealisasikan impian Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, malah kemungkinan besar kita boleh ketinggalan jauh berbanding dengan negara lain.

DE: Bagaimanakah ekosistem negara dapat diperkukuh setanding dengan negara maju yang lain?

Terdapat pelbagai pendekatan ekosistem yang dilakukan oleh kerajaan mahupun kementerian ini. Antaranya termasuklah, persoalan bagaimanakah filem tempatan dapat memasuki dan memenangi Anugerah Oskar di peringkat antarabangsa? Sebagai contoh, syarikat produksi tersebut telah menghasilkan suatu filem terbaik yang bertaraf antarabangsa, namun kita menginginkan mereka juga yang membuat kerja pemasaran mempromosikan produk. Kesudahannya, hal ini sudah pasti tidak akan membuahkan hasil yang terbaik ke peringkat global kerana hakikatnya kerja pemasaran bukanlah suatu kepakaran pihak produksi. Hubungan bekerjasama yang kukuh antara semua pihak perlulah diterapkan dan disemaikan agar hasrat itu dapat direalisasikan dengan efisien.

DE: Bagaimanakah YB Dato’ melihat hubungan sinergi tiga hala menjadi satu mekanisme terbaik untuk mencapai sasaran kemajuan ekonomi negara ?

Peri pentingnya usaha meningkatkan hubungan tiga hala antara pihak kerajaan, swasta dengan masyarakat sivil seharusnya diberikan tumpuan yang lebih signifikan agar membentuk persepakatan dalam mempertahankan kepentingan politik, keselamatan dan ekonomi negara. Antara majlis dan jawatankuasa yang berperanan penting, termasuklah Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Majlis Pembangunan Industri Kreatif dan banyak lagi. Semua majlis ini sememangnya mempunyai hubungan tiga hala, namun masih belum menjadi suatu budaya automatik (semula jadi) secara keseluruhannya.

Pada dasarnya, hal ini sudah mulai menjadi kelaziman budaya automatik mengaplikasikan hubungan tiga hala pada peringkat kebangsaan dan persekutuan, tetapi tidak banyak dilihat pada sesetengah sektor atau lapisan lain, sehinggakan ada yang terlupa untuk memberikan ruang kepada wakil orang muda atau golongan wanita untuk turut serta. Mungkin hal ini ada, tetapi bilangannya terlalu sedikit. Oleh itu, pembentukan pentadbiran hubungan antara kerajaan, swasta dengan masyarakat sivil, termasuklah golongan yang sering dipinggirkan, yakni orang kurang upaya (OKU) perlulah seimbang dan dinamik.

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara

  • Ditubuhkan bertujuan untuk menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.
  • Digitalisasi merupakan budaya kebiasaan baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat, termasuklah sektor awam dan swasta.
  • Majlis ini akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan dengan pembangunan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
DE: Dato’ ada sebutkan tentang orang kelainan upaya (OKU) dan Orang Asli yang perlu diberikan keseimbangan hak keistimewaannya. Bagaimanakah hubungan komunikasi ini dapat ditingkatkan secara inklusifnya?

Hala tuju dan sasaran KKMM pada tahun ini ialah memperkasakan komuniti ini melalui beberapa strategi hubungan komunikasi yang efektif dan inklusif. Kementerian saya ada melantik seorang pegawai tugas-tugas khas seperti jurubahasa isyarat dalam beberapa program dan aktiviti sebagai satu daripada kemudahan untuk golongan ini mengakses informasi penting, khususnya isu semasa.

Sebagai contohnya, berita tentang penularan pandemik COVID-19 yang disampaikan melalui stesen televisyen, radio atau di media sosial. Kita sering terlepas pandang dan beranggapan bahawa berkemampuan mereka untuk berkomunikasi dan menerima maklumat adalah sama seperti orang biasa. Pada hakikatnya, sesuatu penyampaian tersebut mungkin tidak sampai dengan sempurna tanpa menggunakan bahasa isyarat mereka. Oleh itu, KKMM dalam usaha menubuhkan Unit Komunikasi OKU di kementerian dan akan diketuai oleh warga OKU juga. Matlamatnya ialah meningkatkan komunikasi dua hala ini, serta menjamin hak golongan minoriti ini terpelihara daripada diskriminasi, penganiayaan dan penindasan.

Selain itu, KKMM juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam memastikan semua komunikasi kerajaan sampai ke komuniti Orang Asli. Yang menariknya, golongan ini dan pribumi Sabah dan Sarawak juga diberikan beberapa segmen dalam program di RTM, yang menggunakan dialek mereka sebagai bahasa utama. Tayangan program ini bukan sekadar memberikan pendedahan kepada golongan ini sahaja, tetapi menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia agar mengenali budaya atau adat golongan ini.

DE: Pada Oktober 2020 lalu, kempen “Strategi Keselamatan Siber Malaysia” dilakukan demi kepentingan memerangi jenayah siber merentasi dunia. Sejauh manakah keupayaan Malaysia menangani isu keselamatan siber secara efektif?

Infrastruktur maklumat yang mampan dan kekal terjamin merupakan satu daripada aset keselamatan yang sangat penting pada negara. Dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion, Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020–2024 dilaksanakan untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara. Selain itu, kerajaan juga membangunkan sebanyak 12 083 orang profesional dan tenaga kerja yang berpengetahuan supaya mampu menangani tembusan ancaman jenayah siber dalam negara ini.

Namun begitu, Malaysia tidaklah mempunyai seratus peratus keselamatan yang sempurna, walaupun Malaysia dan Singapura dianggap dua negara yang ke hadapan di rantau ASEAN dalam memerangi ancaman jenayah siber. Di Malaysia, terdapat sebuah agensi keselamatan siber kebangsaan, yakni CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah bidang KKMM yang mempunyai kepakaran yang diiktiraf pada peringkat dunia, iaitu dinobatkan sebagai pemenang projek Global Accredited Cybersecurity Education (ACE) Scheme: Centre of Excellence for Capacity Building anf Lifelong Learning bagi kategori 5 – Building Confidence and Security in Use of ICTs.

Tujuan CSM ditubuhkan adalah untuk membina keupayaan pengurus dan golongan profesional dalam bidang TMK, serta boleh diguna pakai di peringkat rantau ASEAN melalui kursus kemahiran dan pensijilan keselamatan yang kompetensi. Antaranya, termasuklah pelaksanaan Skim Pendidikan Cybersecurity Akreditasi Global (ACE), iaitu kerangka holistik pensijilan profesional keselamatan siber; dan CyberSAFE (Cyber Security Awareness for Everyone) untuk meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan TMK yang selamat dan positif dalam kalangan pengguna Internet.

Baru-baru ini ketika mesyuarat ADGMIN1, Malaysia mencadangkan satu daripada mekanisme penting dalam ADM2025 ialah mengaplikasikan ACE untuk memperkukuhkan keselamatan siber secara efektifnya. ACE merupakan sumbangan terbesar Malaysia kepada keselamatan siber dalam negara ASEAN.

Strategi Keselamatan Siber Malaysia

  • Mempertingkatkan keberkesanan pengurusan tadbir urus dan keselamatan siber negara.
  • Memperkukuh penguatkuasaan jenayah siber.
  • Pemerkasaan bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang bertaraf dunia.
  • Mempertingkatkan pembangunan kapasiti dan keupayaan tenaga mahir.
  • Memperkukuh kerjasama global.

Kesedaran diri dalam setiap rakyat juga perlu ditingkatkan, terutamanya berkaitan dengan hak keselamatan siber sebagai pengguna. Misalnya, sejauh manakah ibu bapa memahami keselamatan anak mereka yang menggunakan pelbagai platform dalam dunia siber, termasuklah Akta Keselamatan Siber (undang-undang baharu yang sedang diusahakan oleh KKMM). Dalam hal ini, kerajaan bertanggungjawab penuh dalam memantau dan kawal selia setiap maklumat bagi melindungi hak pengguna daripada ancaman jenayah siber.

DE: Adakah kepentingan kelangsungan industri kreatif dapat menyumbangkan pendapatan ekonomi secara keseluruhannya?

Terbukti, perkembangan semasa ekonomi global kini menunjukkan industri kreatif ialah satu daripada sumber penting bagi pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara maju. Sebagai contoh, di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Amerika Syarikat, mendapati bahawa industri kreatif jelas membentukkan peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tinggi dan agak lumayan pada negara.

Seiring dengan hasrat kerajaan, FINAS berjaya membantu individu meningkatkan idea yang baik, bakat yang menonjol, dan sikap keterbukaan kerajaan dalam merealisasikan pembangunan industri kreatif yang berekosistem dan ekonomik. Dalam usaha ini, KKMM sedang membina akta muzik dan menubuhkan perbadanan muzik untuk membantu industri ini lebih ke hadapan dalam melebarkan sayap empayarnya.

Seperti contoh yang dibangunkan oleh KKMM, iaitu pertandingan nasyid pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Secara tidak langsung, industri kreatif di Malaysia mampu menyumbangkan program di persada dunia, dan Malaysia kini dianggap sebagai satu platform program nasyid kontemporari tahunan. Pada tahun lalu, anugerah nasyid dilakukan pada peringkat kebangsaan, dan tahun ini akan bermula anugerah nasyid pada peringkat antarabangsa.

Maka itu, Malaysia juga boleh menjadi contoh seperti negara maju yang lain apabila hubungan sinergi antara kerajaan dan masyarakat sentiasa seimbang, di samping merealisasikan hasrat kerajaan, iaitu Malaysia mempunyai pembangunan ekosistem yang kukuh, serta melahirkan banyak bakat profesionalisme tinggi dalam kalangan masyarakatnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.