Diterbitkan pada 5 Julai 2024, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam perkembangan yang signifikan bagi sektor pelancongan perubatan di Malaysia, Novo Reserve melalui COBNB dengan bangganya mengumumkan kerjasamanya dengan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, peneraju pasaran dalam industri penjagaan kesihatan.

Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman penginapan bagi pelancong perubatan dan keluarga mereka, seterusnya menyokong reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi pilihan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menawarkan kos yang berpatutan dan berkualiti tinggi.

Leon Low, Pengurus Pemasaran Antarabangsa Hospital Gleneagles, melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama tersebut dan menegaskan bahawa pelancongan perubatan melangkaui perkhidmatan perubatan semata-mata.

Menurut beliau,

Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan COBNB. Kami juga berusaha bukan sahaja untuk menawarkan rawatan perubatan yang luar biasa tetapi juga untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan pesakit kami sepanjang perjalanan perubatan mereka di Malaysia.

Kerjasama ini menggariskan komitmen secara bersama untuk menyediakan sokongan yang komprehensif kepada pelancong perubatan, memastikan penginapan mereka di Malaysia adalah selesa dan bebas daripada sebarang tekanan atau masalah.

Novo Reserve yang menyediakan perkhidmatan penginapan premium melalui COBNB digabungkan dengan kepakaran perubatan terkenal Hospital Gleneagles berharap dapat menetapkan piawaian baharu dalam pelancongan perubatan, sekali gus meletakkan kedudukan Malaysia sebagai mercu tanda untuk penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dapat diakses di rantau ini.

Malaysia mempunyai kemudahan perubatan yang canggih, profesional dengan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, dan reputasi untuk menyediakan penjagaan perubatan berkualiti tinggi dengan kos yang lebih rendah berbanding dengan negara berhampiran. Gabungan kelebihan ini mampu menarik pesakit bagi mendapatkan rawatan daripada prosedur perubatan khusus kepada pemeriksaan kesihatan am.

Sektor pelancongan perubatan yang berkembang pesat di Malaysia menunjukkan kedudukan kukuh negara dalam pasaran penjagaan kesihatan global. Menurut Mohamed Ali Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Malaysia semakin menjadi destinasi kegemaran pelancong kesihatan di seluruh rantau Asia Pasifik sejak beberapa tahun belakangan ini.

Dengan menekankan aspek kualiti, kemampuan dan kebolehcapaian, Malaysia secara konsisten menarik pelanggan yang pelbagai untuk mendapatkan rawatan perubatan lanjutan.

Beliau melaporkan bahawa peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong kesihatan pada tahun 2023 melebihi satu juta, iaitu peningkatan lebih 15 peratus daripada tahun 2022.

MHTC turut menyasarkan untuk menjanakan pendapatan RM2.4 bilion daripada sektor pelancongan kesihatan tahun ini, yang dijangkakan menyumbangkan limpahan ekonomi kepada industri lain kira-kira RM9.6 bilion.

Bagi pelancong perubatan, penginapan bukan sekadar tempat tinggal, bahkan tempat perlindungan untuk mereka dapat pulih dengan selesa sebelum dan selepas prosedur perubatan.

Kerjasama COBNB dengan Hospital Gleneagles ini mampu menangani cabaran dengan menyediakan penginapan yang berkualiti di bangunan yang terletak dalam jarak berjalan kaki dari hospitalnya di Jalan Ampang.

COBNB juga menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma untuk semua pesakit dan ahli keluarga Hospital Gleneagles sepanjang hari untuk meningkatkan pengalaman berulang-alik mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi