Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Negeri Selangor (DPMM Selangor) menyatakan minat untuk meneroka dan mengambil bahagian secara langsung dalam sektor peruncitan serta perkhidmatan kesihatan melalui saluran koperasi, sebagai strategi memperkukuh penguasaan ekonomi Bumiputera dan memberikan impak mampan kepada pertumbuhan negara.
Hasrat itu akan digerakkan menerusi Koperasi Dewan Melayu Selangor Berhad (KOMAS), cabang perniagaan dan pelaburan DPMM Selangor, yang telah mengenal pasti beberapa bidang khusus untuk dilaksanakan.
Menurut kenyataan media DPMM Selangor hari ini, dalam tempoh lima tahun akan datang, KOMAS menyasarkan pelaburan dan peningkatan pelibatan Bumiputera dalam kedai runcit, klinik perubatan, farmasi serta rangkaian kedai khusus.
Dengan nilai pasaran sektor peruncitan yang dianggarkan mencecah RM530 bilion serta pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang konsisten setiap tahun, pelibatan KOMAS dijangka memberikan impak signifikan kepada kemajuan ekonomi masyarakat Melayu.
DPMM Selangor berpandangan bahawa tumpuan koperasi tidak wajar terhad pada pulangan fiskal semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha memperluas penyertaan golongan profesional perubatan Melayu dalam bidang perniagaan.
Menurut DPMM Selangor lagi, inisiatif tersebut bukan sahaja berpotensi menjana pulangan konsisten kepada ahli dan pelabur, malah menawarkan manfaat tidak langsung, seperti pemantapan rantaian bekalan, penyediaan perkhidmatan logistik, pembangunan ekosistem halal, faedah berterusan kepada ahli serta peluang latihan dan pekerjaan.
Kesemua matlamat tersebut digerakkan selaras dengan pendekatan “Dari Usahawan kepada Usahawan” yang menjadi teras DPMM Selangor.
Yang Dipertua DPMM Selangor, YBrs. Tuan Ar. Haji Mohd Azli Md. Yusof dalam ucapan alu-aluannya menegaskan peranan koperasi sebagai business vehicle yang mampu mengurus projek, menyediakan pembiayaan serta mengawal selia pelaburan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan koperasi terletak pada semangat kolektif, saling menyokong dan kepercayaan antara anggota, bukan sekadar modal kewangan.
Sementara itu, Presiden DPMM merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), YBrs. Encik Norsyahrin Hamidon mengalu-alukan usaha DPMM Selangor yang selari dengan aspirasi Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA). Beliau menyeru agar ahli-ahli agar terus menyokong serta memanfaatkan peluang yang disediakan oleh pentadbiran DPMM negeri, di samping peka terhadap situasi di lapangan dan menggunakan DPMM sebagai platform menyampaikan saranan kepada kerajaan.
Perkara itu disampaikan sempena Sesi Townhall DPMM Selangor yang dirasmikan oleh YBrs. Encik Norsyahrin Hamidon di Ladang Buah Tin AKE Benefigs, Shah Alam.
Turut hadir ialah pengasas AKE Benefigs Sdn. Bhd., YBrs. Encik Uda Mohd. Hafidz Ariffin yang kini mengusahakan enam ladang buah tin di Selangor serta beberapa negeri di Semenanjung.
Dalam program yang sama, turut berlangsung majlis prapelancaran KOMAS melalui simbolik penanaman tiga anak pokok tin yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Norsyahrin Hamidon; Pengerusi KOMAS, YBrs. Tuan Haji Ahmad Azmaizan Abdul Rahman; dan tetamu jemputan khas, iaitu Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Profesor Madya Dr. Badrul Isa.