Diterbitkan pada 5 November 2025, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa sehingga 3 November 2025, sebanyak 98 peratus penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara telah membelanjakan sejumlah RM3.66 bilion untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Amir Hamzah bin Tun Dato’ Seri Azizan berkata lima negeri, iaitu Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah mencatatkan pencapaian 100 peratus penerima SARA yang telah membuat pembelian barangan keperluan asas.

“Bagi penerima penghargaan SARA RM100 pula, lebih 18.3 juta rakyat atau 83 peratus daripada mereka telah memanfaatkannya dengan jumlah kos berjumlah RM1.69 bilion,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Amir Hamzah turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memastikan hasil tambahan yang diperoleh melalui reformasi fiskal negara dikembalikan kepada rakyat, terutamanya untuk meringankan beban kos sara hidup.

Selain itu, beliau turut menambah bahawa inisiatif SARA bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima bantuan, tetapi turut menyokong peniaga kecil, kedai runcit persendirian dan kedai koperasi di seluruh negara.

Setakat 3 November 2025, lebih daripada 8,700 Rakan Niaga SARA telah terlibat dalam inisiatif ini, termasuk sekitar 2,500 kedai runcit kecil. Hal ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding dengan hanya 700 Rakan Niaga SARA, termasuk 180 kedai runcit kecil pada tahun 2024.

Antara koperasi yang terlibat sebagai Rakan Niaga SARA termasuklah Coop Mart, Koperasi Penjara Berhad, Koperasi FELCRA dan Koperasi FELDA Sungai Koyan 2 yang turut memainkan peranan penting dalam memperluas program ini ke seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi