Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan membuka reruai khas di Dewan Tun Hussein Onn sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang bakal berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Menurut Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, YBrs. Encik Saifuddin Abu Bakar, reruai seluas 50 petak itu berkonsepkan ruang terbuka dan santai, sekali gus memudahkan pengunjung untuk membaca dan membeli buku. Kemudahan seperti ruang permainan kanak-kanak turut disediakan bagi memudahkan ibu bapa membuat pilihan buku dengan lebih selesa.
“Antara tarikan di reruai DBP ialah pelbagai koleksi buku meliputi lebih daripada 2,800 judul dengan 100,000 naskhah termasuklah kamus, buku tatabahasa, buku pendidikan, novel remaja, karya sastera dan buku bidang profesional seperti undang-undang, teknologi maklumat dan ekonomi,” katanya dalam satu temu bual bersama-sama dengan BERNAMA Radio.

DBP turut merancang lebih daripada 37 slot aktiviti pentas antaranya termasuklah 14 pelancaran buku dan wacana, 18 sesi forum serta bual bicara serta pertandingan karaoke lagu puisi sebagai hiburan santai. Pengunjung juga berpeluang bertemu penulis kegemaran mereka dan mendapatkan tandatangan serta bergambar menggunakan kamera 360 darjah.
PBAKL 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama penerbit tempatan termasuklah DBP.
DBP juga diberi tanggungjawab sebagai pengelola Jawatankuasa Majlis Perasmian, Penutupan dan Protokol dengan majlis penutupan dijadualkan pada 1 Jun dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai acara tahunan utama dalam industri penerbitan negara, PBAKL dijangka menerima lebih daripada 1.9 juta pengunjung pada tahun ini.