Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ranong – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima taklimat mengenai cadangan perancangan Land Bridge Ranong–Chumpon di Thailand yang disampaikan oleh Gabenor Wilayah Ranong, TYT Suphot Phutikiatkhajorn.

Menurut kenyataan MAIPs, sesi taklimat tersebut adalah sebahagian daripada program yang diaturkan bersempena dengan lawatan kerja Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke wilayah berkenaan dari 7 Januari 2025 hingga 9 Januari 2025 yang diketuai oleh baginda.

TYT Suphot menerangkan status terkini projek tersebut adalah dalam kajian dan jika dilaksanakan kelak akan merangkumi pembinaan enam lorong lebuh raya sejauh 94.9km, jalan kereta api berkembar, dua pelabuhan dan penaiktarafan lapangan terbang yang akan merancakkan lagi ekonomi Thailand.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama TYT Suphot.

Kunjungan Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang terakhir ke Ranong adalah pada tahun 2019.

Ranong merupakan satu daripada destinasi yang dikunjungi secara giliran antara enam buah Majlis Agama Islam Wilayah Andaman yang merupakan rakan strategik MAIPs sejak sedekad yang lalu.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa seandainya projek tersebut menjadi realiti, maka Perlis menawarkan apa-apa bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan untuk situasi “menang–menang”.

Hal ini terutamanya sekali dengan kewujudan Pelabuhan Darat di Padang Besar dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang sedang giat dibangunkan sekarang serta cadangan projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di negeri ini.

Ketika di Ranong juga, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut meluangkan masa singgah meninjau Multi Purpose Pier of Ranong yang terletak menghadap negara Myanmar sejauh hanya kira-kira lima kilometer sahaja dari situ. Turut hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

TYT Suphot yang baru sahaja dilantik sebagai Gabenor wilayah ini pada tiga bulan yang lalu juga mengiringi pasangan Diraja melawat beberapa lokasi menarik di bandar tersebut termasuklah Khao Nivet View Point yang baru sahaja siap dan dibuka untuk kunjungan orang ramai, Rattana Rangsarn Throne Hall dan juga OTOP Lifestyle Ranong.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.