Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera di Anjung Melayu, pejabat DPMM, semalam.
Pemeteraian MoU antara DPMM dengan Gig Venture Enterprise, Lekir Tech (M) Sdn. Bhd. dan Mesolitica Sdn. Bhd. bertujuan untuk memacu penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan usahawan Melayu.
Rakan strategik DPMM menyatakan komitmen mereka untuk membawa kepakaran teknikal dalam bidang AI serta menyediakan penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti dan inovasi.
Melalui inisiatif ini, PMKS bakal memiliki kelebihan kompetitif untuk kekal relevan dalam ekonomi digital yang semakin mencabar.
Teknologi AI yang dibangunkan melalui kerjasama ini juga memberikan tumpuan kepada keperluan lokal termasuklah pembangunan model bahasa besar (LLM) bahasa Melayu yang mampu mengurangkan kebergantungan pada teknologi luar.
Inisiatif ini memperkukuh kedaulatan teknologi sambil memastikan bahasa dan budaya tempatan terus dipelihara.
Kerjasama ini sejajar dengan objektif Kementerian Digital dan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dalam usaha memastikan pembangunan AI yang beretika, mampan dan inklusif.
Melalui sokongan rakan strategik, DPMM berusaha untuk memastikan manfaat teknologi ini sampai kepada seluruh komuniti perniagaan Melayu dan bumiputera.
Sebagai sebahagian daripada Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) yang diperkenalkan pada tahun ini, MOU ini menjadi platform untuk memperkukuh ekosistem ekonomi bumiputera.
GEMA menekankan kepentingan pemerkasaan melalui teknologi dan inovasi untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
DPMM juga akan melaksanakan program kesedaran di seluruh negara dan memberikan bimbingan kepada usahawan Melayu mengenai cara mengintegrasikan AI ke dalam operasi harian mereka.
Program seperti Seminar Pemantapan Kecerdasan Buatan untuk Usahawan Kecil dan Besar (SPKB) akan berfungsi sebagai platform untuk memacu penerapan teknologi AI pada peringkat akar umbi.
Dengan penyertaan dan komitmen daripada pelbagai pihak termasuklah rakan strategik DPMM, usaha ini bukan sahaja memastikan PMKS Melayu dan bumiputera kekal relevan tetapi juga mendahului perubahan teknologi global.
DPMM komited untuk terus menjadi pemangkin kepada aspirasi kerajaan dan usahawan Melayu demi pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.