29 September 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk ”Pendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais” yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama YTF.

Baginda bertitah bahawa perniagaan berasaskan ekonomi digital kini tidak asing lagi dan perubahan landskap perniagaan francais ke arah digitalisasi menjadi keutamaan. Kelebihan itu membolehkan interaksi perniagaan diperluaskan dengan pengguna dari seluruh dunia di samping melaksanakan digitalisasi dalam keseluruhan rantai bekalan. Tambahan pula, perniagaan ekonomi digital bukan sahaja mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan perniagaan-perniagaan sokongan seperti perkhidmatan penghantaran.

Baginda percaya kerajaan juga memandang serius pembangunan pesat industri francais dan mengurangkan perbezaan jurang  dalam industri ini. Fokus utama ini akan menjana ekonomi negara dan seterusnya wujudnya peluang pekerjaan untuk rakyat. Idea dan input dalam membangunkan mikro francais dapat membantu merangka peningkatan tahap sosioekonomi golongan B40 ke M40 yang diharapkan akan menarik minat mereka untuk menceburi bidang perniagaan.

Oleh itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF yakin penglibatan golongan masyarakat setempat dalam bidang perniagaan francais ini perlu dipertingkatkan dan disokong oleh pendekatan yang bersifat “memudahcara” dan “meringankan”. Mereka yang telah berjaya juga diseru untuk membantu rakan-rakan yang baharu atau sedang berkecimpung supaya lebih berdaya maju.

Webinar tersebut dirasmikan penutupan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.