Oleh Ritah Yahaya
2 Ogos 2022, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sediakan kasut larian anda kerana acara larian Coway Run secara fizikal kembali selepas penantian selama dua tahun. Regangkan badan dan otot anda dan tanamkan semangat untuk berlari sehingga ke garisan penamat. Acara Coway Run 2022 akan bermula dari bulan Oktober hingga November 2022 ini.

Dengan tema Unite to Create (“Bersatu untuk Mencipta”) yang menggabungkan aktiviti kehidupan sihat, kesejahteraan, kecergasan dan kesenian, para peserta boleh memilih larian bersendirian secara maya atau larian beramai-ramai secara fizikal! Peserta yang memilih untuk menyertai larian secara fizikal juga boleh berlari secara maya.

Dalam larian maya, peserta boleh berlari mengikut rentak dan kelajuan mereka sendiri dari 1 Oktober hingga 6 November 2022. Tanpa menetapkan had jarak, peserta boleh keluar dari zon selesa masing-masing dan mencipta pencapaian baharu dengan mengatasi sasaran peribadi dan memecahkan rekod untuk mengumpulkan lencana maya berbeza.

Larian secara fizikal akan diadakan pada 6 November dengan pelepasan peserta seawal jam 6.00 pagi di Dataran Putrajaya. Peserta boleh menyertai satu daripada dua kategori, Fun Run (larian ceria) 6 km atau Competitive Run (larian kompetitif) 10 km.

Larian Kompetitif 10 km dibahagikan kepada enam segmen, iaitu Terbuka, Veteran dan Terbuka Antarabangsa bagi Lelaki dan Wanita untuk peserta berumur 16 tahun ke atas. Hidupkan semangat juang anda dan berlari sepantas kilat untuk merebut jumlah hadiah wang tunai bernilai RM18 000 yang menanti para pemenang Larian Kompetitif 10km.

“Tahun ini, kami amat teruja untuk mengadakan larian secara fizikal kerana Coway Run ialah satu daripada acara yang saya percaya amat dinanti-nantikan setiap tahun dan kami teruja untuk menganjurkan edisi baharu larian ini. Pelari yang setia dan tegar kami tidak akan hampa kerana pelbagai aktiviti menarik menanti mereka. Matlamat utama Coway Run adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama mencipta platform untuk peserta menyumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan. Seperti biasa, acara kami membolehkan peserta berlari sambil beramal dan tahun ini, kami berharap untuk mengumpulkan lebih banyak dana berbanding dengan tahun lepas,” kata Kyle Choi, Pengarah Urusan Coway Malaysia.

Buat persiapan untuk larian tahun ini yang bertemakan Unite to Create yang menjanjikan pelari sesuatu yang lebih besar daripada mana-mana larian lain pada masa lepas sambil pelari berganding bahu untuk mencetus perubahan dalam setiap langkah larian yang diambil.

Coway Run 2022: Unite to Create akan menjadi larian pertama di Malaysia yang memaparkan hasil seni NFT yang akan digunakan untuk tujuan murni. Sejajar dengan tema acara, laluan larian bakal menjadi kanvas pelari, manakala langkah-langkah mereka ibarat berus yang digunakan untuk mencipta langkah larian unik dalam bentuk gambar atau objek.

Menerusi larian maya ini, peserta perlu mencipta lukisan seni kreatif dengan setiap langkah larian menggunakan aplikasi larian GPS dan lukisan seni larian paling kreatif akan diterbitkan menjadi sebuah karya seni NFT oleh beberapa artis NFT tempatan. Manakala, bagi larian secara fizikal, peserta akan berganding bahu dan meraikan acara dengan mencipta sebuah karya lukisan seni besar bersama-sama artis jemputan. Semua karya seni ini kemudian akan dilelong dan hasilnya akan disalurkan kepada beberapa organisasi amal, termasuklah EcoKnights, MERCY Malaysia, Reef Check Malaysia, dan Nicol David Organisation.

Sejajar dengan komitmen Coway untuk menjalankan kerja amal seperti tahun sebelumya  daripada setiap tiket yang dijual, RM10.00 akan disumbangkan kepada Projek Happy Water Coway yang bertujuan terus membantu masyarakat kurang berkemampuan dan juga Orang Asli untuk mendapat bekalan air minuman yang bersih.

“Setiap tahun, beribu-ribu peserta membantu kami mengubah kehidupan menjadi lebih indah dan tahun ini pasti lebih bermakna kerana kami dapat membantu lebih banyak masyarakat dan memberikan sumbangan positif kepada alam sekitar, terutamanya menerusi hasil seni NFT yang akan kami kutip dengan bantuan peserta Coway Run kami. Lukisan seni dari setiap langkah larian tersebut akan dilelong dan hasilnya disalurkan kepada badan-badan amal yang merupakan rakan kerjasama kami. Menerusi inisiatif amal seperti ini, kami dapat menjadikan hidup lebih ramai insan lebih indah dan terus menabur bakti kepada masyarakat,” kata Choi.

Untuk membantu mencetus perubahan dengan setiap langkah, daftar sekarang dari 2 Ogos hingga 4 Ogos 2022, untuk menikmati harga tiket istimewa bagi pembeli awal serendah RM40.00. Dapatkan tiket anda sebelum kehabisan!

Semua pelari akan menerima kit larian istimewa Coway yang terdiri daripada cenderamata mesra alam. Para peserta akan menerima Kemeja-T Coway Run 2022, beg galas boleh digunakan semula, kad ucapan mengandungi benih yang boleh ditanam, pingat unik yang diperbuat daripada plastik kitar semula yang boleh diubah suai menjadi pemegang telefon, dan barangan eksklusif lain!

Untuk maklumat lanjut tentang Coway Run 2022, layari www.cowayrun.com.my

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.