29 Jun 2022, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Harga komoditi yang tinggi mendorong Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat sebanyak 0.2% kepada 11.2% pada bulan Mei. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa IHPR yang mengukur harga barangan pada bulan April berada pada paras 11%.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Mei 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat sebanyak 20.6% berbanding dengan 18.4% pada bulan April 2022. Selain itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan pula mencatatkan peningkatan  sebanyak 16.7% disumbangkan, terutamanya oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2%), perikanan (11.3%) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8%).

“Pada bulan Mei 2022, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 10.1% buat kali pertama sejak bulan Ogos 2011 dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (24.5%), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9%) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.3%). Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2%, manakala indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.6%.”

Beliau turut menyatakan bahawa peningkatan dua angka dalam IHPR di Malaysia selari dengan kenaikan inflasi pada peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang dipengaruhi oleh faktor kekurangan bekalan, terutamanya bahan mentah berikutan kelonggaran sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Russia dengan Ukraine.

Beliau turut menambah inflasi pada peringkat pengeluar bagi United Kingdom meningkat sebanyak 15.7% pada bulan Mei 2022, naik daripada 14.7% dicatatkan pada bulan April 2022. Selain itu, kenaikan turut didorong harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22% dari tahun ke tahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.