Oleh Ritah Yahaya
29 Jun 2022, 14:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Funding Societies platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, hari ini mengumumkan pengambilalihan perkhidmatan pembayaran serantau, CardUp, untuk jumlah yang tidak didedahkan. Menerusi langkah ini, Funding Societies akan memperoleh keupayaan pembayaran CardUp seperti pembayaran melalui kad kepada penerima yang tidak mempunyai kemudahan penerimaan pembayaran kad (bagi transaksi dalam dan luar negeri), penerimaan pembayaran secara dalam talian, perisian automasi invois serta lesen berkenaan dan penyepaduannya dengan perisian perniagaan pihak ketiga terkenal.

Perkhidmatan pembayaran CardUp ini akan melengkapi produk pembiayaan Funding Societies, untuk menawarkan pengalaman kewangan yang disatukan untuk PKS serantau, membolehkan PKS mengurus dan membuat pembayaran perbelanjaan, menerima pembayaran, serta membuat pinjaman pembiayaan melalui satu platform digital.

 

 (Dari kiri) Kelvin Teo, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Funding Societies Modalku bersama-sama Nicki Ramsay, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, CardUp.

Pengumuman ini menyusuli berita pendanaan Siri C+ yang diraih platform tersebut sebanyak USD294 juta (RM1.29 bilion) pada Februari 2022, yang USD144 juta (RM634 juta) diperoleh melalui ekuiti, diikuti pelaburan dalam Bank Index di Indonesia, pelancaran kad maya perniagaan Elevate di Singapura dan kemasukannya ke pasaran kelima, iaitu Vietnam. Hal ini seterusnya memperkukuh rangkaian keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serantau.

CardUp  yang dilancarkan pada tahun 2016 dan beribu pejabat di Singapura, menyediakan penyelesaian pembayaran yang membantu individu serta perniagaan untuk membuat pembayaran kepada pembekal dan mengutip pembayaran daripada pelanggan secara digital. Beroperasi di pasaran Singapura, Malaysia dan Hong Kong, CardUp telah membantu puluhan ribu perniagaan, termasuklah perniagaan mikro, PKS dan korporat merentasi spektrum industri daripada perniagaan kepada perniagaan dan daripada pengguna kepada perniagaan.

Perniagaan ini menggunakan CardUp untuk pelbagai urusan perbelanjaan perniagaan, antaranya termasuklah pembayaran gaji, sewa, cukai korporat, pembayaran vendor, aliran belum terima dan perbelanjaan rentas sempadan. Dengan jangkaan permintaan besar daripada syarikat-syarikat yang ingin menjimatkan masa dan kos menerusi pendigitalan pembayaran, CardUp menyaksikan pertumbuhan pesat yang merakamkan peningkatan sebanyak 53% dari suku ke suku .

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies Modalku, Kelvin Teo, berkata, “Setelah mengenali Nicki dan CardUp sejak tahun 2018, kami mendapati CardUp mempunyai kesesuaian budaya dan strategik yang hebat. Pengambilalihan CardUp akan meningkatkan jangkauan dan mempercepatkan aspirasi kami dalam menjadi peneraju pasaran FinTech serantau, menyepadukan keupayaan pembayaran, mempertingkatkan pengalaman pengguna dan pelesenan tempatan yang berkait rapat dengan pinjaman digital yang kami sediakan di pasaran utama rantau Asia Tenggara. Kami teruja untuk bekerjasama bersama-sama pasukan CardUp, sekali gus berbesar hati untuk bergabung tenaga dengan mereka.”

Pengambilalihan ini tepat kerana PKS dijangka melonjakkan pasaran kewangan digital ASEAN dengan pendapatan bernilai USD60 bilion (RM263.64 bilion) menjelang tahun 2025. Ini seterusnya akan menyumbangkan sebanyak 17% daripada keseluruhan hasil industri perkhidmatan kewangan serantau. Sementara itu, sektor pembayaran perniagaan serantau dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (KPTK) sebanyak 10% dalam tempoh lima tahun akan datang. Transaksi ini juga sejajar dengan usaha PKS ASEAN yang melaksanakan pendigitalan proses kewangan mereka untuk mencapai penjimatan masa dan kos serta penambahbaikan dalam perkhidmatan pelanggan menerusi penyelesaian dan aplikasi kewangan generasi terkini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CardUp, Nicki Ramsay, berkata, “Kami telah lama mengiktiraf Funding Societies sebagai peneraju pembiayaan PKS serantau selain menjadi pelengkap kepada kepakaran pembayaran kami. Pengambilalihan ini mencerminkan sinergi strategik dan budaya erat yang kedua-dua pihak mempunyai misi untuk membantu PKS menambah baik operasi perniagaan serta pengurusan aliran tunai. Kami yakin CardUp dan tenaga kerja kami akan berada dalam jagaan baik bersama Kelvin dan pasukannya, dan kami menantikan fasa pertumbuhan seterusnya syarikat ini.”

Setelah pengambilalihan ini dimuktamadkan dan diluluskan oleh pihak pengawal selia, Funding Societies akan mengalu-alukan Nicki Ramsay ke dalam kumpulan pengurusannya untuk menerajui segmen pembayaran. Di samping itu, semua tenaga kerja semasa CardUp di seluruh Asia akan dikekalkan. CardUp akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan kliennya serta mengekalkan hubungan yang telah lama terjalin dengan rangkaian perkhidmatan kad, pengguna, dan rakan media. Funding Societies dan CardUp akan memanfaatkan sinergi kukuh dalam bentuk pelengkapan bakat, teknologi, serta melalui kerjasama bank dan teknologi untuk memperkasakan lagi PKS di Asia Tenggara.

Dengan lebih daripada 50% bahagian pasaran di Malaysia, Funding Societies merupakan peneraju industri pembiayaan digital PKS melalui penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan mengikut keperluan perniagaan PKS yang pelbagai. Dengan proses aplikasi sepenuhnya dalam talian, platform ini menangani cabaran-cabaran yang lazim dihadapi PKS apabila mendapatkan penyelesaian pembiayaan termasuk keperluan cagaran, penyerahan dokumentasi fizikal dan tempoh pemprosesan yang panjang. Di seluruh Asia Tenggara, Funding Societies telah menyalurkan lebih daripada RM10.28 bilion dana modal kerja menerusi lebih 5.1 juta pembiayaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.