Oleh Ritah Yahaya
28 Jun 2022, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan Ais Konfeksi Harumanis Perlis yang diadakan di Ben’s Independent Grocer (B.I.G.) The Linc, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang dihasilkan oleh Sailor’s Gourmet Foods (SGF).

Berangkat sama ke acara berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengurus Besar Sailors Gourmet Foods Andrew Tan Gim Lee dan Ivan Ooi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan berangkat melancarkan Ais Konfeksi Harumanis Perlis.

Turut hadir ialah Chief Merchandising Officer, The Food Purveyor Kok Kian Kee; Ketua Pegawai Operasi, The Food Purveyor, Eng Teck Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif PPB Properties, Low Eng Hooi,

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Andrew memaklumkan bahawa inspirasi Ais Konfeksi Harumanis Perlis bermula dengan lawatan beliau bersama-sama Ivan ke Perlis pada bulan Januari 2022 lalu untuk mengambil bahagian dalam Program Sumbangan Agihan Zakat MAIPs Peduli Bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis.

Beliau berkesempatan mendekati budaya dan kebanggaan warga Perlis terhadap keunikan buah Harumanis Perlis. Beliau tertanya-tanya tentang cara untuk menawarkan buah Harumanis Perlis kepada pengguna sepanjang tahun dengan mengekalkan rasa Harumanis Perlis yang unik dan istimewa. Oleh itu, apabila pulang dari Perlis, beliau mendapat idea untuk menghasilkan ais krim Harum Manis Perlis. Oleh hal yang demikian, semua pekerja di kilang dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dengan segera memulakan proses untuk menghasilkan Konfeksi Ais Harumanis Perlis.

Rasa harumanis yang unik dan istimewa menyebabkan pihak syarikat mengekalkan nama produk ini dalam bahasa Inggeris, Harumanis Ice Confection. Melalui usaha penyelidikan dan pembangunan serta pelancaran Ais Konfeksi Harumanis, beliau berharap dapat memperkenalkan lebih banyak produk berasaskan Harumanis pada masa depan sesuai dengan moto syarikat Sailors Gourmet Foods itu, iaitu “Taste The Difference”.

Produk ini boleh diperoleh secara eksklusif di empat buah pasar raya, iaitu B.I.G., Village Grocer, BSC Fine Foods dan Leisure Grocer (The Food Purveyor).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!