23 Jun 2022, 08:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menyemak naik kadar pertumbuhan tahunan industri runcit negara bagi tahun 2022 kepada 13.1% daripada 6.3% sebelum ini berikutan unjuran prestasi lebih kukuh dalam suku kedua tahun ini.
Timbalan Presidennya, Ken Phua Cheng menyatakan bahawa kadar pertumbuhan runcit bagi suku kedua tersebut dijangka meningkat kepada 25.7% susulan jangkaan peningkatan perniagaan berkaitan. “Unjuran itu merangkumi gedung, pasar raya, pasar raya mini, kedai fesyen dan aksesori, farmasi, penjagaan diri, produk kanak-kanak dan bayi, perabot serta premis runcit yang khusus. “Peningkatan itu turut disokong oleh galakan daripada Kementerian Pelancongan yang menyasarkan kehadiran 2 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini. Secara keseluruhannya, keadaan kelihatan agak baik untuk kami.” 
Kedai serbaneka dan pengendali pasar raya dijangka mengekalkan kadar pemulihan dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 41.8% bagi suku kedua 2022 namun pengendali gedung beli-belah mengunjurkan perniagaan mereka menyederhana pada 14.1% bagi suku kedua tahun ini berdasarkan kepada Laporan Industri Runcit Malaysia. Peruncit fesyen dan aksesori menjangkakan perniagaan mereka terus maju dengan kadar pertumbuhan 58.9% pada suku kedua 2022 berbanding tempoh sama setahun lepas yang merupakan unjuran tertinggi dalam subsektor runcit bagi suku terbabit.
Laporan itu menyatakan peruncit produk kanak-kanak dan bayi juga optimis terhadap pemulihan lebih kukuh pada 41.2% bagi suku kedua 2022 manakala pengendali pasar raya, kedai serbaneka dan koperasi menjangkakan kadar pertumbuhan pada 6.8%.
Bagaimanapun, pengendali pasar raya dan pasar raya besar menjangkakan kekal dalam zon negatif dengan penurunan pertumbuhan 3.5% bagi suku kedua 2022 iaitu unjuran terendah dalam kalangan subsektor runcit bagi suku ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.