22 Jun 2022, 08:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM15.85 bilion pada suku pertama berakhir pada 31 Mac 2022, lebih rendah berbanding dengan M19.29 bilion pada suku yang sama tahun lalu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penurunan pendapatan itu didorong kemerosotan ketara pasaran dunia. Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan meskipun penjanaan pendapatan daripada ekuiti menjadi penyumbang utama pendapatan KWSP, tetapi turut terjejas akibat kelembapan pasaran.
KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjanakan keuntungan tambahan sebanyak RM10.46 bilion iaitu sebanyak 66% sumbangan ekuiti daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar. Pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset berjaya menjanakan sebanyak RM9.37 bilion bagi suku pertama selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai daripada jumlah itu.
Bagi instrumen pendapatan tetap yang terdiri daripada sekuriti kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbangkan pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion, atau sebanyak 30% kepada pendapatan pelaburan kasar. Angka itu lebih tinggi berbandingĀ  dengan RM3.89 bilion pada suku yang sama tahun 2021.
Segmen hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion daripada RM0.71 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Pendapatan daripada instrumen pasaran wang pula mencatatkan RM0.28 bilion, daripada RM0.38 bilion pada tempoh sama.
Keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion yang menyaksikan sebanyak 37% dilaburkan dalam pelaburan luar negara hingga bulan Mac 2022. Pada suku pertama tahun 2021, pelaburan luar negara KWSP menjanakan pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, iaitu 52% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar direkodkan. Bagi suku kedua pula, KWSP akan mengambil langkah waspada dalam menangani risiko berkaitan dengan pemulihan pascapandemik serta ketegangan yang berlaku di Ukraine.
KWSP optimistik dengan prospek pertumbuhan Malaysia susulan pembukaan semula ekonomi yang dijangka meningkatkan permintaan di dalam negara danĀ  di luar negara sejajar dengan unjuran pertumbuhan kerajaan antara 5.3% hingga 6.3% bagi tahun 2022.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.