22 Jun 2022, 07:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi menyatakan bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang baik ketika berdepan cabaran global. Beliau menambah Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia untuk mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5% tahun ini, lebih tinggi berbanding pertumbuhan global sebanyak 2.9% dan pertumbuhan serantau 4.4%.

“Malaysia mencatatkan prestasi yang agak baik, walaupun dengan impak pandemik yang dijejaskan lagi dengan perang di Ukraine, sekatan pergerakan di China, kenaikan kadar faedah dan kebimbangan mengenai stagflasi memandangkan kita sedang diselubungi dengan ketidaktentuan ekonomi.”

Beliau turut menegaskan bahawa perbelanjaan pengguna menjadi semakin baik dan penciptaan pekerjaan yang pulih beransur-ansur. Selain itu, perniagaan di Malaysia meraih peningkatan jualan secara beransur-ansur kepada tahap seperti sebelum COVID-19 berikutan bantuan kerajaan semasa pandemik.

Beliau juga memaklumkan bahawa harga komoditi yang tinggi memberikan manfaat kepada Malaysia memandangkan komoditi eksport negara seperti minyak sawit, gas asli cecair dan petroleum yang menyumbang sebanyak 80% daripada keseluruhan komoditi.
Beliau juga mengulas mengenai trend pengetatan dasar monetari di seluruh dunia atau peningkatan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) yang berupaya dan akan memberikan impak buruk terhadap pengeluaran di rantau Asia Timur, termasuklah Malaysia. Selain itu, Malaysia mempunyai hutang luaran dalam dinominasi dolar AS yang rendah dan rizab antarabangsa yang signifikan. Gabungan kesemua faktor ini akan mengurangkan impak buruk pengetatan monetari di AS dan negara-negara maju lain terhadap Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.