17 Jun 2022, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Petronas memperkenalkan Gentari Sdn Bhd (Gentari) bagi mempercepatkan penerimagunaan dan pengkomersilan tenaga bersih. Entiti baharu itu berhasrat menyediakan satu rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau yang selamat, bertanggungjawab, kos teroptimum serta pengurangan pelepasan karbon berasaskan pendekatan bersepadu merentasi rantaian nilai tenaga bersih untuk pelanggan global.

Pengerusi Gentari, Datuk Tengku Muhammad Taufik menyatakan bahawa Gentari akan menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk memenuhi keperluan tenaga dan aspirasi karbon rendah Malaysia serta pelanggannya di dalam negara dan di luar negara. Pihaknya berhasrat untuk merebut peluang dalam pasaran tenaga karbon rendah dengan menawarkan penyelesaian dan sistem pada harga berpatutan serta mudah diakses dengan membolehkan skala pengeluaran dan memudahkan kebolehsediaan infrastruktur.

Gentari akan mendapat manfaat dari kapasiti dan sumber tersedia dalam pencarian tenaga bersih berskala industri bermula dengan Malaysia dan Asia Pasifik dengan mempertingkatkan kemajuan yang telah dicapai oleh Petronas setakat ini menerusi perniagaan tenaga baharu yang sedia ada dan memperluaskan usaha sama dengan pembekal tenaga dan teknologi generasi mendatang. Gentari juga berhasrat memenuhi keperluan tenaga hari ini dan pada masa hadapan dengan penyelesaian tenaga bersih yang mendorong kemajuan dalam cara yang lebih seimbang dan lestari.

Kebebasan diberi kepada Gentari untuk menumpukan kepada penyediaan penyelesaian tenaga bersih secara berinovasi sambil mencari peluang pendanaan bagi mempercepatkan perkembangan perniagaan di dalam usaha memenuhi permintaan sedia ada dan meneroka teknologi tenaga yang baharu.

Gentari komited untuk memudahkan lagi pelaksanaan proses sifar bersih untuk para pelanggan sambil membangunkan pasaran tenaga bersih secara keseluruhan dengan melabur dan sentiasa berinovasi bersama rakan niaga untuk mencapai hasil yang lebih memberangsangkan dengan penyelesaian sedia ada dalam portfolionya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.