15 Jun 2022, 12:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu daripada cabaran negara dalam mendepani situasi penuaan penduduk ialah keselamatan pendapatan. Statistik menunjukkan bahawa hanya 14.1% daripada warga tua mempunyai pendapatan persaraan, yang sebahagian besarnya merupakan pesara kerajaan. Hal ini bermakna majoriti warga tua di Malaysia tidak mempunyai pendapatan terjamin.

Risiko kemiskinan pada usia tua didorong oleh faktor kurangnya kesedaran dan pengetahuan tentang perancangan kewangan. Perkara ini tidak mustahil menjadi lebih kritikal dengan trend kepenggunaan yang ketara. Pada masa ini, kemahuan berlebihan mengatasi keperluan yang dipamerkan melalui pelbagai saluran media sosial.

Bukan itu sahaja, pandemik Covid-19 juga menjadikan situasi lebih mencabar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan bahawa peratusan ahli KWSP yang mempunyai tahap simpanan rendah kritikal meningkat sebanyak 48% selepas tempoh pandemik COVID-19, berbanding  dengan hanya 28% sebelumnya.

Siri pengeluaran khas KWSP sepanjang tempoh pandemik menyaksikan pengeluaran pramatang oleh pencarum KWSP yang lebih daripada RM100 bilion. Dilema antara tuntutan kelangsungan hidup dengan keselamatan pendapatan pada usia tua tidak mudah dirungkaikan bagi golongan yang benar-benar tersepit dengan kerencatan ekonomi. Namun, yang dikesalkan adalah apabila golongan tidak terjejas turut sama membuat pengeluaran tanpa percaturan kewangan yang rapi.

KWSP menyasarkan aras simpanan minimum umur 55 tahun sebanyak RM240 000.00 bagi menampung perbelanjaan keperluan asas selama tempoh 20 tahun seterusnya. Berdasarkan statistik yang menunjukkan bahawa sebanyak 6.1 juta orang pencarum KWSP kini mempunyai kurang daripada RM10 000.00, hal ini menguatkan lagi petanda kemelut kemiskinan pada usia tua.

Dasar Warga Emas Negara menggariskan kesejahteraan warga emas dalam lima dimensi, iaitu penuaan sihat; penuaan positif; penuaan aktif; penuaan produktif, dan penuaan menyokong.  Sebelum ini, isu penuaan penduduk dari segi ekonomi dihuraikan dalam perbincangan penuaan produktif. Walau bagaimanapun, perbincangan tersebut lebih memfokuskan kaedah warga emas boleh terus terlibat dalam aktiviti kerja – sama ada bergaji ataupun sukarela agar kehidupan dirasai lebih bermakna.

Berdasarkan perkembangan terkini, aspek kemiskinan pada usia tua seharusnya turut diberi keutamaan. Kos sara hidup yang semakin meningkat jelas tidak mampu ditanggung dengan simpanan persaraan yang semakin mengecil. Hal ini belum termasuk kos rawatan kesihatan dan penjagaan jangka panjang yang pastinya menuntut perbelanjaan yang besar ekoran penurunan tahap kesihatan warga emas secara lazimnya.

Selain itu, kitaran ekonomi global dilihat bakal mengalami beberapa perubahan. Sebagai contohnya, krisis ekonomi yang sebelum ini dianggarkan secara kasar berlaku setiap 10 tahun, kini dijangka akan berlaku dalam tempoh kitaran masa yang lebih singkat daripada itu. Malahan, terdapat beberapa buah agensi yang meramalkan akan berlaku beberapa siri krisis kesihatan dalam jangka hayat ini. Jika dan apabila krisis ini berlaku lagi, adakah kita bersedia dari segi kewangan dan ekonomi? Adakah kita akan terus bergantung harap pada simpanan persaraan yang mungkin masih belum sempat ditebus lagi ekoran pengeluaran berkali-kali sepanjang pandemik lalu?

Dari lensa makro, tidak dinafikan bahawa kerajaan harus memikul tanggungjawab menangani cabaran penuaan penduduk, termasuklah isu kemiskinan pada usia tua. Penyelesaian bersepadu harus difikirkan bagi memastikan jaringan keselamatan yang berkesan kepadaa rakyat. Walau bagaimanapun, setiap individu harus menggalas tanggungjawab yang sama agar kesejahteraan hidup dapat diteruskan sepanjang meniti usia tua.

Mengambil kira perkembangan terkini, adalah wajar kita membuat perancangan  kewangan yang lebih teliti sekarang agar kita lebih bersedia menghadapi usia tua dengan tenang. Hanya dengan kerjasama dan sokongan padu antara individu dengan kerajaan dapat kita bersama-sama mengelak daripada berdepan dengan kemelut kemiskinan pada usia tua. Seperti pepatah Melayu, “Sediakan payung sebelum hujan; ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”.

 

Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.