Oleh Ritah Yahaya
13 Jun 2022, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2022 (3–12 Jun 2022) yang dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) berjaya melibatkan 167 syarikat perbukuan yang menyaksikan sebanyak 709 buah reruai menghidangkan pelbagai bahan buku untuk memeriahkan “pesta hari raya buku” yang dianggap penganjuran pesta buku terbaik sejak 39 kali diadakan. PABKL 2022 dilihat sebagai permulaan memulihkan kembali industri perbukuan negara sepenuhnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Encik Khair Ngadiron, Urus Setia Tetap MBKM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 mendedikasikan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran pesta buku yang dianggap paling berjaya kali ini selepas pelbagai cabaran dilalui sepanjang tempoh dua tahun sebelum ini.

Sebanyak 1 363 757 orang pengunjung direkodkan selama 10 hari PABKL 2022 berbanding dengan hanya 670 000 orang pengunjung pada tahun 2019. Jumlah tersebut melebihi sasaran penganjur yang menjangka hanya mencapai 900 000 ribu orang. Manakala, sebanyak 13.6 juta tontonan tanda pagar PBAKL di media sosial membuktikan kesetiaan Keluarga Malaysia kepada penganjuran pesta buku ini.

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa Keluarga Malaysia sememangnya amat menyokong usaha membijaksanakan bangsa, khususnya daripada amalan budaya membaca dan mencintai buku. Beliau berharap agar usaha mengekalkan budaya membaca serta cintakan buku ini akan dapat direalisasikan oleh seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira masa.

Majlis penyampaian hadiah reruai terbaik daripada enam kategori yang dipertandingkan oleh penganjur disampaikan oleh Tan Sri Noh Haji Omar. Turut menyerikan acara ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Datin Paduka Mastura Haji Mohamad, wakil Negeri Tamu Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.