Oleh Ritah Yahaya
12 Jun 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Anugerah Telenovela malam tadi menganjurkan program kemuncak Jelajah Anugerah Telenovela MERECIK Edisi ATN ke-8. Program tersebut  dijayakan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN)  dengan penaja Ayu Pictures, Yuela Gold dan Majlis Profesor Negara (MPN) disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube DATV yang menampilkan pengacara istimewa, Syafiqah Rahim daripada RTM.

Program yang berlangsung selama dua jam itu dimulakan dengan perkongsian daripada gandingan pempengaruh perpaduan, iaitu  Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan MPN bersama-sama Puan Rabi’ahtuladawyah Md Saleh, Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Profesor Madya Ts. Dr. Jessica dan Puan Rabi’ahtuladawyah dengan FB JR Integrasi Minda (JRIM)  menjayakan segmen “Puisi Kita Mendunia” yang dikupas oleh YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, seorang pensyarah, penyair dan penterjemah profesional.

(Dari kiri) Paun Rabi’ahtuladawyah, YBhg. Tan Sri Dato’ Wira Dr.  Abdul Latif, YBrs. Dr. Suraiya, Profesor Madya Ts. Dr. Jessica, dan YBrs. Dr. Raja Rajeswari.  
Aksi peserta deklamasi puisi.

YBrs. Dr. Rajeswari menekankan peri pentingnya memartabatkan bahasa kebangsaan dalam industri kreatif dan kegiatan penterjemahan karya-karya tempatan yang berlaku dengan pesat dan diterajui bersama-sama Persatuan Penterjemah Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Dalam segmen tersebut, pelibatan pengunjung juga diraikan dengan deklamasi puisi dan menjawab kuiz mudah.

Jelajah Anugerah Telenovela MERECIK Edisi ATN ke-8  diteruskan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Wira Dr.  Abdul Latif Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN. Beliau memerihalkan kesungguhan dan komitmen YPBN dalam menggiatkan industri kreatif dalam negara, khususnya kreativiti karya bersumberkan buku, iaitu adaptasi buku ke layar dan televisyen. Penganjuran anugerah tersebut juga menjadi motivasi kepada karyawan untuk bersama-sama mendukung aspirasi YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.

YBrs. Dr. Suraiya Chapakiya, pensyarah dari Universiti Fatoni, Thailand menyentuh tentang kesungguhan dan cabaran berkreativiti berteraskan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat di sana, khususnya di universiti. Seni yang jauh daripada amalan Islam sudah tidak diamalkan lagi dan pendekatan deklamasi sajak serta puisidra merupakan aktiviti yang sentiasa mendapat perhatian masyarakat di selatan Thai yang majoritinya beragama Islam itu.

Dalam program tersebut juga, Wakaf Buku disampaikan daripada penyumbang, iaitu ITBM, DBP, IKIM, YADIM, Karya Seni dan Love Novel kepada Universiti Fatoni. Persembahan nyanyian oleh Ippo Hafiz dan persembahan khas deklamasi puisi oleh  Tuan Kamarazaman Yacob berjaya menarik perhatian pengunjung PBAKL 2022. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Pegawai Khas kepada  Perdana Menteri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.