7 Jun 2022, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mantan Yang di-Pertua Negeri Melaka, YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob melancarkan Buku Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari tahun 2020 hingga tahun 2022 bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022.

YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob sedang menandatangani plak majlis perasmian.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob menzahirkan penghargaan kepada DBP atas tanggungjawab dan usaha gigih DBP sejak penubuhannya memperjuangkan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan industri perbukuan dan penerbitan tanah air yang menyumbang kepada ekonomi negara pascamerdeka dengan menerbitkan banyak bahan bacaan yang berkualiti tinggi kepada masyarakat.

Beliau turut merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada DBP yang menerbitkan dua buah buku beliau. DBP menerbitkan dua buah buku beliau, iaitu  ArtistsPotraits and Images (2019). Buku mewah ini diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang mengandungi 64 buah lukisan potret dan pemandangan yang dilukiskan oleh beliau ketika beliau memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka,” ujar YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Buku kedua YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob yang diterbitkan oleh DBP ialah Kebijaksanaan Pemerintahan Sultan Melaka 14461488 yang merupakan tesis PhD. beliau. Buku ini mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Buku Malaysia 2020  bagi kategori “Buku Pemimpin Negara Semasa.

Dalam ucapan beliau, YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob berharap agar DBP terus memperjuangkan dan memperkasakan bahasa, sastera dan budaya pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara itu,  Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merakamkan penghargaan kepada YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob atas kejayaan buku beliau yang bertajuk Kebijaksanaan Pemerintahan Sultan Melaka 14461488 yang memenangi Anugerah Buku Malaysia bagi kategori “Buku Pemimpin Negara Semasa”.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob atas sumbangan buah fikiran beliau untuk terus memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di Malaysia.

Dalam majlis tersebut juga, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menzahirkan penghargaan  kepada Bahagian Buku Umum, DBP atas kejayaan menghasilkan 150 judul buku walaupun berdepan dengan kekangan disebabkan oleh pandemik COVID-19. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang Anugerah Buku Negara dan Anugerah PERSAMA.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyeru dan berharap agar karyawan DBP terus giat berkarya dan menyumbangkan karya mereka bagi mengupayakan pembinaan tamadun yang hebat.

Majlis pelancaran Buku Terbitan DBP dari Tahun 2020 hingga Tahun 2022  turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehudin Abg Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, dan Encik M. Azhari Eden yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!