2 Jun 2022, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Inflasi Malaysia pada tahun 2021 meningkat 2.5% didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa sebanyak 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam “bakul” Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan. Beliau menambah peningkatan itu juga lebih tinggi berbanding 0.7% yang direkodkan sebelum pandemik pada tahun 2019. “Pandemik COVID-19  memberikan kesan kepada kehidupan seharian masyarakat. Bagaimanapun, usaha kerajaan dalam melaksanakan pemberian vaksin percuma kepada rakyat telah membantu memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna untuk keluar berbelanja. “Selain itu, kebenaran rentas negeri dan semua sektor ekonomi telah dibuka semula bermula 11 Oktober 2021. Situasi ini telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pengedaran dan peruncitan.” 
Secara keseluruhannya, kenaikan inflasi sebanyak 2.5%  disumbangkan oleh indeks pengangkutan (11.0%); makanan dan minuman (1.7%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.6%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5%) yang menyumbang 72.0% kepada keseluruhan wajaran IHP.  Sebanyak 80.0% komponen makanan dalam kumpulan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan. “Peningkatan harga komoditi global telah memberi kesan kepada inflasi makanan. Peningkatan harga ayam yang melebihi purata harga ayam pada tahun 2020 adalah impak daripada kenaikan harga stok makanan haiwan.”
Beliau turut menambah kekurangan bekalan import, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 serta penutupan sempadan negara merupakan antara faktor yang mempengaruhi turun naik harga di pasaran tempatan. Mengenai inflasi pengangkutan, beliau menyatakan bahawa peningkatan dua digit (11.0%) adalah disebabkan oleh kesan asas penetapan harga siling petrol RON95 (RM2.05 seliter) dan diesel (RM2.15 seliter) sejak Mac 2021.
Selain itu, penamatan diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) selama tiga bulan dan berakhir pada September 2021 turut memberi tekanan kepada kenaikan inflasi negara bagi tahun 2021. Mengikut negeri, tujuh negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.5% dengan peningkatan tertinggi oleh Terengganu (3.4%).
Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur, minyak masak dan ikan, dan makanan laut pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu,  inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3000 meningkat 2.2% pada tahun 2021 berbanding 2020 (-1.0%) dengan kumpulan pengangkutan menyumbang peningkatan tertinggi 13.3% berbanding negatif 12.0% yang direkodkan pada tahun 2020.
Pada tahun 2021, inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 0.7% berbanding 1.1% pada tahun sebelumnya Peningkatan tertinggi inflasi teras terutamanya disumbangkan oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah sebanyak 1.6%.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!