23 Mei 2022, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Manulife Investment Management (Manulife IM) yang berpangkalan di Kanada percaya Malaysia mampu mengharungi inflasi dengan baik memandangkan ekonomi negara telah bersedia untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding kebanyakan pasaran sedang pesat membangun yang lain. Ketua Pengurusan Kekayaan dan Aset untuk Asia, Michael Dommermuth menyatakan bahawa keadaan makro semasa Malaysia disokong dengan baik antaranya oleh kedudukan akaun semasa yang munasabah serta rizab pertukaran asing.
Beliau seterusnya berpendapat unjuran semasa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara antara 5.3% dan 6.1% agak konsisten dengan unjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). ”Kami melihat banyak isu yang berkumpul di ufuk global seperti risiko geopolitik, stagflasi, Rizab Persekutuan AS yang menaikkan kadar serta banyak lagi yang sedang berlaku. Tetapi jika anda melihat kedudukan Malaysia dan semua ini, ia sebenarnya terletak dengan baik. ”Pada masa yang sama, sementara seluruh dunia menghadapi tekanan inflasi, inflasi di Malaysia cukup terkawal dan melihat kepada petunjuk harga teras, kami berasa cukup yakin mengenainya.” 

Beliau turut menambah Malaysia juga mula melihat pelabur asing kembali melabur dalam pasaran ekuiti domestik selepas empat tahun mencatatkan aliran keluar bersih. Pada tahun 2021, jualan runcit Malaysia meningkat 58% tahun ke tahun dengan 86% disumbangkan oleh dana asing, manakala aset unit amanah runcit di bawah pengurusan (AUM) (penasihat dan bank) mengembang dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun ( CAGR) sebanyak 19% dari tahun 2014 hingga tahun 2021 berbanding pertumbuhan industri sebanyak 11% dalam tempoh yang sama.
Sebagai pengurus aset runcit lima teratas di Malaysia mengikut pengurusan aset (AUM), Manulife IM berminat untuk mempercepatkan pengagihannya untuk memacu pertumbuhan runcit yang mampan. Secara keseluruhan di seluruh Asia, Malaysia mempunyai rangkaian penasihat dana bersama terbesar yang mencakupi lebih 2400 tenaga penasihat yang kuat, menjadikannya pasaran paling matang untuk Manulife IM.
Sehubungan itu, Manulife IM merancang untuk menggandakan tenaga penasihatnya menjelang 2025. ”Strategi pertumbuhan kami meletakkan Malaysia sebagai hab Asia Tenggara untuk teknologi maklumat dan operasi, yang menyokong pasaran serantau lain.” Penggunaan digital di Malaysia jauh lebih tinggi daripada pasaran lain iaitu 70%.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.